MPSJ kuat kuasa larangan polisterin, kurangkan beg plastik di bazar Ramadan

Bernama
Mei 29, 2017 23:31 MYT
Larangan itu bertujuan membangkitkan kesedaran awam tentang keperluan penjagaan alam sekitar selain selari dengan konsep amalan hijau. - Gambar fail
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menguatkuasakan larangan penggunaan bekas makanan polisterin dan tidak memberikan beg plastik percuma kepada pelanggan di semua bazar Ramadan di bawah pengawasannya tahun ini.
Pemangku Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali berkata ia bertujuan membangkitkan kesedaran awam tentang keperluan penjagaan alam sekitar selain selari dengan konsep ''Go Green'' yang diperkenal pihaknya.
"Kempen bebas plastik di bazar Ramadan MPSJ ini merupakan program tahunan sejak 2013 yang turut menggalakkan orang ramai membawa bekas plastik untuk membeli makanan," katanya selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan di Bandar Kinrara 5 di sini pada Isnin.
Beliau berkata usaha mengurangkan penggunaan beg plastik turut dilaksana di semua 21 lokasi bazar Ramadan MPSJ dengan mengenakan bayaran 20 sen kepada pelanggan yang mahu menggunakannya.
Mohd Zulkarnain berkata 1,393 gerai beroperasi di seluruh bazar Ramadan MPSJ.
-- BERNAMA
#alam sekitar #amalan hijau #beg plastik #Go Green #polisterin #Ramadan #Subang Jaya