Skip to main content

Malaysia

MQA lakar sejarah raih Anugerah Tadbir Urus Pendidikan Tinggi Terbaik Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melakar sejarah muncul sebagai badan jaminan kualiti pendidikan tinggi pertama menerima Anugerah Projek Tadbir Urus Terbaik - Pendidikan Tinggi peringkat Asia Pasifik sempena GovMedia Conference & Awards 2026, semalam.
Mohammad Shatar berkata, pengiktirafan berprestij itu adalah satu penghargaan terhadap kecemerlangan MQA menerajui projek berimpak tinggi dalam memperkukuh tadbir urus, inovasi serta sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara menerusi penganjuran MQA Awards 2025. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melakar sejarah muncul sebagai badan jaminan kualiti pendidikan tinggi pertama menerima Anugerah Projek Tadbir Urus Terbaik – Pendidikan Tinggi peringkat Asia Pasifik sempena GovMedia Conference & Awards 2026, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, pengiktirafan berprestij itu adalah satu penghargaan terhadap kecemerlangan MQA menerajui projek berimpak tinggi dalam memperkukuh tadbir urus, inovasi serta sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara menerusi penganjuran MQA Awards 2025.

Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan pendekatan strategik yang dilaksanakan MQA bukan sahaja berkesan dalam memperkukuh tadbir urus organisasi malah mendapat pengiktirafan komuniti antarabangsa.

“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan MQA, malah menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan Malaysia membangunkan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi yang diyakini serta setanding dengan amalan terbaik dunia.

"Anugerah ini turut memperkukuh reputasi MQA dan negara di persada antarabangsa, di samping menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti yang sering diuar-uarkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Marina Bay Sands Expo & Convention Centre,  Singapura.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, anugerah itu turut mencerminkan komitmen berterusan warga MQA dalam memastikan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara kekal relevan, diyakini dan memenuhi amalan terbaik di peringkat global.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan membuktikan penganjuran MQA Awards bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembudayaan inovasi, pengukuhan tadbir urus dan penambahbaikan berterusan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Katanya, penganugerahan itu menjadi pembakar semangat kepada MQA untuk terus memacu kecemerlangan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.

"Anugerah ini juga memperkukuh penjenamaan korporat MQA sebagai peneraju jaminan kualiti pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap kecemerlangan tadbir urus dan kualiti pendidikan tinggi,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, MQA akan terus memperluas jaringan kerjasama strategik dengan sektor awam, swasta, industri serta institusi pendidikan tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa bagi memastikan ekosistem jaminan kualiti negara kekal berdaya saing, responsif terhadap perubahan serta memenuhi keperluan masa hadapan.

GovMedia Conference & Awards merupakan platform persidangan dan pengiktirafan rantau Asia Pasifik berprestij yang menghimpunkan pemimpin sektor awam, pembuat dasar dan agensi kerajaan untuk berkongsi amalan terbaik serta mengiktiraf projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus.

Pada majlis itu, sebanyak 26 pemenang dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Australia, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi menerima anugerah masing-masing menerusi pelbagai kategori antaranya projek pendidikan, komuniti, tenaga, pertanian, sains dan teknologi, kawal selia, kewangan, alam sekitar, pihak berkuasa tempatan, komunikasi, latihan, kesihatan, belia, pembangunan urban serta khidmat sosial.

Antara organisasi dari Malaysia yang pernah menerima pengiktirafan GovMedia Conference & Awards sebelum ini ialah Istana Budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan serta HRD Corp.

Pemenang GovMedia Conference & Awards 2026 dipilih oleh panel penilai antarabangsa yang terdiri daripada Guillaume Sachet dari firma KPMG dan Shuchi Mehta dari PricewaterhouseCoopers (PwC).

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement