KUALA LUMPUR: Seramai 3,750 orang di seluruh negara telah mendapatkan perkhidmatan Rawatan Pemulihan Bergerak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (MRT AADK) pada tahun lepas, melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata ketika kemudahan itu dilancarkan pada 19 Mei lepas, pihaknya meletakkan sasaran 1,427 orang akan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Sutekno berkata kemudahan itu bukan sahaja dapat dimanfaat oleh klien AADK yang berada di daerah dan institusi, tetapi merangkumi Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Pada tahun ini, saya berharap dengan pertambahan ahli baharu yang dipanggil kumpulan pakar, pasukan MRT AADK akan terus melebarkan sayap dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan MRT AADK Bilangan 1/2023 di sini pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.

Sutekno berkata pihaknya akan memperluaskan perkhidmatan berkenaan ke Sabah dan Sarawak berikutan kedua-dua negeri itu mempunyai daerah yang banyak dan klien terpecah dalam radius yang besar.

"Justeru, ia memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan ahli yang pernah berkhidmat atau berasal dari sana akan diberi keutamaan," katanya.

Dalam pada itu, Sutekno berkata pengarah AADK negeri dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik perlu menyelaras serta memantau pasukan MRT AADK negeri masing-masing untuk memastikan perkhidmatan dapat dilaksanakan lebih sistematik, menyeluruh dan efisien.

-- BERNAMA