MRT Corp kaji bina LRT Pulau Pinang bawah tanah, laut - Chow
Bernama
Ogos 18, 2023 15:53 MYT
Ogos 18, 2023 15:53 MYT
GEORGE TOWN: MRT Corp akan membuat kajian kebolehlaksanaan untuk melihat kesesuaian pembinaan projek itu di bawah tanah untuk jajaran yang terletak di tengah bandar serta bawah laut bagi jajaran yang menghubungkan Seberang Perai dengan kawasan pulau.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkara itu dibentangkan oleh MRT Corp, yang telah mengambil alih projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, dalam mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke di sini, semalam.
"Mereka membentangkan jajaran terkini untuk pertimbangan pihak kerajaan negeri dan kita bersetuju dengan cadangan berkenaan, tetapi MRT Corp perlu menjalankan kajian kebolehlaksanaan khususnya kesesuaian jajaran itu dari segi keadaan muka bumi.
"MRT Corp berkata jajaran yang dekat pusat bandar lebih sesuai bawah tanah, maka jajaran yang dekat dengan stesen pertukaran juga perlu dibina bawah tanah memandangkan jajaran dari Butterworth ke George Town yang dirancang melalui saluran utara adalah bawah laut," katanya kepada wartawan di sini hari ini selepas merasmikan Pameran Emas dan Barang Kemas Terkemuka Pulau Pinang 2023.
Katanya mengikut perancangan sebelum ini, jajaran LRT di negeri itu adalah struktur bertingkat dan bukannya bawah tanah.
Dari segi laluan LRT, beliau berkata ia tidak melibatkan perubahan yang besar, iaitu akan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, seterusnya Komtar, Tanjung Bungah, Air Itam, Butterworth, Kepala Batas dan Simpang Ampat.
Projek LRT tersebut merupakan satu daripada usaha kerajaan Persekutuan dan negeri untuk merapatkan jurang fizikal Seberang Perai dengan kawasan pulau, selari hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat laluan LRT menghubungkan kedua-dua kawasan itu.
Mengenai model pembiayaan projek, Chow sebelum ini dilaporkan berkata ia akan dibiayai sepenuhnya oleh MRT Corp.
"Pembinaan LRT stesen pertukaran adalah amat penting kerana ia melibatkan semua jajaran. Mereka perlu membuat kajian bersesuaian. Nampaknya dari segi teknikal ia amat mencabar," katanya.
-- BERNAMA