MALAYSIA
MSM minta penjelasan cukai lima peratus gula mentah

Jelas Syed Feizal, sekitar 75 hingga 80 peratus kos pengeluaran MSM berasal daripada gula mentah. - Gambar hiasan/SMC
KUALA LUMPUR: Pengeluar gula bertapis nasional, MSM Malaysia Holdings Berhad sedang meneliti semula peluasan lima peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST) melibatkan gula mentah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Muhammad berkata, penjelasan lanjut juga dituntut daripada kerajaan untuk memantau kesan kepada harga barang terkawal.
"Harga runcit gula di Malaysia dihadkan pada RM2.85 sekilogram sejak 2011, meskipun harga gula mentah global meningkat sejak tahun kebelakangan ini.
"Jika cukai itu dikenakan kepada gula mentah, pengeluar gula bertapis negara boleh melepaskan kos berkenaan kepada industri."Namun kami tidak boleh berbuat demikian bagi gula kerana ia berada di bawah harga kawalan. Justeru, penjelasan lanjut diperlukan dan kami sedang berhubung rapat dengan kerajaan," jelasnya.
Syed Feizal berkata sedemikian semasa sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MSM ke-14 pada Khamis.
Jelas beliau, sekitar 75 hingga 80 peratus kos pengeluaran MSM berasal daripada gula mentah.
Semakan dan peluasan skop SST yang melibatkan beberapa barangan mentah lain akan mula berkuat kuasa 1 Julai ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami