MALAYSIA
MTL: Bomba Perak siap siaga, fokus lebih 300 hotspot banjir, 32 hotspot kepala air

SAYANI: Kita sudah membuat persediaan dari segi kesiapsiagaan logistik, perkakasan dan peralatan yang perlu untuk sebarang operasi bencana banjir supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan. - Gambar fail/Bomba Perak
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bersiap sedia untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan memberi fokus kepada 332 kawasan hotspot yang berisiko berlaku banjir di seluruh negeri.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata daerah Kuala Kangsar, Kerian serta Larut, Matang dan Selama adalah lokasi yang paling banyak hotspot berisiko banjir.
Dalam masa sama, beliau menasihatkam orang ramai, khususnya di kawasak hotspot supaya siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kita sudah membuat persediaan dari segi kesiapsiagaan logistik, perkakasan dan peralatan yang perlu untuk sebarang operasi bencana banjir supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan."Orang ramai juga perlu bersiap sedia mengemas barangan dan dokumen penting kerana boleh keluar dengan kadar segera dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa supaya kerja-kerja penyelamatan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM di Meru Raya di sini hari ini.
Sayani berkata, pihak bomba juga telah mengenal pasti 32 hotspot berisiko berlaku insiden kepala air di negeri ini.
Menurutnya, antara lokasi itu ialah Sungai Kampung Ruah Batu 7, Sungai Lata Kinjang dan Sungai Lata Iskandar di daerah Batang Padang serta Sungai Chepor Dalam dan Lubok Timah di daerah Kinta.
Selain itu, ujar beliau, pihaknya juga mengenal pasti kawasan yang berisiko berlaku tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat.
Antaranya, katanya, ialah Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands, Jalan Pengkalan Hulu - Betong, Jambatan Sungai Enggor serta daerah Kinta.
Sayani berkata, biarpun belum menerima sebarang arahan setakat ini namun pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan selain sedia menjalin kerjasama rentas agensi terutamanya pihak berkuasa tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami