[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

MTL: DOF perhebat bantuan, teknologi sokong penternak akuakultur

Bernama 16/12/2025 | 04:15 MYT
Adnan berkata DOF memberikan jaminan setiap penternak yang telah diluluskan akan menerima bantuan setelah segala syarat dipenuhi bagi membolehkan penternak terus melaksanakan aktiviti akuakultur pada tahun hadapan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi memastikan kelangsungan operasi penternak menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dan persiapan pusingan ternakan ikan pada tahun hadapan.


Ringkasan AI
  • Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyediakan bantuan kepada penternak untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dan persiapan pusingan ternakan ikan tahun hadapan.
  • Bantuan yang diberikan termasuk penyaluran input ternakan, khidmat nasihat teknikal, pemantauan persekitaran akuakultur, dan langkah mitigasi terhadap ledakan alga berbahaya dan penyakit ikan.
  • DOF juga menggunakan teknologi GIS dan Sistem Amaran Awal untuk memberikan maklumat tepat kepada penternak bagi mengurangkan kesan bencana dan membolehkan mereka menyesuaikan operasi dengan lebih baik.


Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata bantuan itu merangkumi penyaluran input ternakan, khidmat nasihat teknikal, pemantauan keadaan persekitaran akuakultur serta langkah mitigasi terhadap ledakan alga berbahaya dan penyakit ikan melalui Institut Penyelidikan Perikanan.

"Pelaksanaan Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur melalui Pusat Pembiakan Nukleus dan Pusat Pengganda Induk telah menghasilkan lebih lima bilion ekor benih setahun dengan anggaran nilai pengeluaran sekitar RM690 juta, melibatkan 490 hatcheri dan nurseri swasta.

"Ini bagi memastikan bekalan benih berkualiti tinggi dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Adnan berkata teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) melalui MyDOFGiS di pautan https://mydofgis.mysa.gov.my/ dan Sistem Amaran Awal turut digunakan bagi memberikan maklumat tepat dan pantas kepada penternak supaya langkah pencegahan dapat diambil lebih awal.

"Langkah-langkah ini juga membolehkan penternak menyesuaikan operasi mereka, termasuk pengurusan sangkar, kadar tebaran benih, pemberian makanan dan pengurusan air untuk meminimumkan kesan bencana," katanya.

Beliau berkata bantuan dan sokongan bersepadu yang disediakan kerajaan adalah usaha berterusan dalam membantu penternak akuakultur yang terjejas akibat banjir serta memastikan kelangsungan operasi dan persediaan pusingan ternakan ikan tahun hadapan.

"Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh penternak akibat banjir MTL 2024/2025 dan MTL 2025, serta melalui bantuan dan sokongan bersepadu ini termasuk yang disalurkan di bawah Tabung Bencana Pertanian, kerajaan berusaha memastikan penternak dapat memulihkan operasi dengan cepat dan bersedia untuk pusingan ternakan 2026," katanya.

Adnan berkata bantuan itu akan disalurkan mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bukan sahaja mengurangkan risiko kerugian tetapi juga melindungi sumber pendapatan dan kesejahteraan komuniti perikanan negara.

Beliau berkata DOF memberikan jaminan setiap penternak yang telah diluluskan akan menerima bantuan setelah segala syarat dipenuhi bagi membolehkan penternak terus melaksanakan aktiviti akuakultur pada tahun hadapan.

Menurut Adnan, DOF turut menzahirkan keprihatinan terhadap penternak akuakultur yang terjejas akibat banjir semasa musim MTL yang menyaksikan sebanyak 594 penternak menerima bantuan bernilai RM7.9 juta melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP) pada 2024/2025.

Semasa MTL Oktober hingga Disember 2025 pula, sebanyak 112 penternak dikenal pasti terjejas dengan anggaran kerugian RM13.65 juta melibatkan kerosakan sangkar, kolam, kehilangan benih dan kematian ikan di beberapa negeri termasuk Perak, Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Perlis.

-- BERNAMA
#monsun timur laut #jabatan perikanan #bantuan #penternak #banjir