PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan telah diarah melaksanakan pemantauan dan keperluan penambahbaikan terhadap infrastruktur awam di kawasan berisiko banjir susulan peralihan fasa Monsun Timur Laut (MTL) pada November ini hingga Februari 2024.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan ia termasuk mengenal pasti kawasan parit, longkang, pembetung dan kolam takungan yang berisiko menyebabkan kejadian banjir dan seterusnya melaksanakan kerja pembersihan serta penyelenggaraan bagi melancarkan aliran air.

"Tapak projek pembangunan juga akan dipantau bagi memastikan saliran air seperti kolam takungan dan kebersihan kawasan pembangunan berada dalam keadaan baik," menurut KPKT dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPKT, Pasukan Gerak Cepat (MTL RED Team) juga akan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga agar sentiasa bersedia memberi respons pantas sekiranya khidmat bantuan penyelamatan diperlukan.

MTL RED Team akan ditempatkan di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Terengganu, Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor.

Dari segi kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), KPKT memaklumkan terdapat kekuatan seramai 15,639 anggota, iaitu 13,435 pegawai sepenuh masa (PSM) dan 2,204 pegawai bomba bantuan (PBB) dengan 80 peratus pegawai dan anggota bomba dibekukan cuti hingga Februari 2024.

"JBPM juga telah bersedia dengan kekuatan logistik sebanyak 1,150 jenis kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat dan kenderaan marin pelbagai jenis untuk kegunaan menghadapi MTL 2023," menurut KPKT.

JBPM juga telah mengenal pasti sebanyak 4,795 lokasi titik panas banjir melalui data terbuka Jabatan Pengairan dan Saliran serta pemantauan daripada balai bomba seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, Sarawak merekodkan jumlah kawasan berisiko banjir yang paling tinggi iaitu 1,034 kawasan diikuti Kelantan (595), Pahang (554) dan Sabah (520).

Bagi pengurusan bencana banjir, KPKT memaklumkan Pelan Pengurusan Operasi Pembersihan Sisa Pasca Banjir telah disediakan sebagai panduan kepada semua agensi yang terlibat untuk memastikan proses pengurusan kerja pembersihan sisa pascabanjir lebih teratur dan berkesan.

"Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta syarikat konsesi sentiasa bersiap siaga dalam menjalankan operasi pembersihan pascabanjir berdasarkan pelan yang telah disediakan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA