GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
GADGETS

MTP 2025: Platform komersialisasi teknologi tempatan

Amzar Alif 03/10/2025 | 05:00 MYT
Mohammad Yusof melihat sistem REVA, peranti mudah alih tanpa reagen dan tidak invasif untuk ujian hemoglobin serta tanda vital, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. –Gambar MIMOS Berhad
PUTRAJAYA: MIMOS Berhad meraikan empat dekad perjalanan inovasi dengan penganjuran MIMOS Technology Preview 2025 (MTP 2025), satu platform strategik untuk menonjolkan teknologi tempatan yang telah sedia dikomersialkan serta menjalin kolaborasi rentas industri.


Ringkasan AI
  • MIMOS Berhad anjur MTP 2025 sempena ulang tahun ke-40, pamer lebih 40 teknologi tempatan sedia dikomersialkan
  • Teknologi seperti REVA dan Inspectra telah diuji dan diiktiraf antarabangsa, cabaran utama kini ialah pengkomersialan
  • MIMOS lancar MIMOS Ventures untuk galak kerjasama teknologi masa depan, dengan penyertaan lebih 1,000 delegasi tempatan dan antarabangsa


Bertemakan “Power Up Your Business with Market Ready Tech and Unrivalled Partnership”, acara yang berlangsung di IOI Grand Convention Centre itu menyaksikan lebih 40 teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dipamerkan, merangkumi bidang kesihatan digital, pengkomputeran awan, keselamatan data, automasi industri, mobiliti pintar, dan pertahanan.

Antara inovasi yang mencuri tumpuan termasuk sistem REVA dan Inspectra yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurut Penyelidik Utama merangkap Pengarah Makmal Teknologi Fotonik MIMOS Berhad, Zalhan Md Yusof, cabaran utama bukan lagi pada aspek teknologi, tetapi usaha membawa penyelesaian sedia ada ke pasaran.

“Cabaran utama sebenarnya bukanlah teknologi itu sendiri kerana teknologi yang kami bangunkan seperti Reva dan Inspectra telah berada di Malaysia dan juga di persada antarabangsa.

“Ia telah dipamerkan di Oman, menjalani ujian klinikal di Australia, Filipina dan Thailand.

“Jadi, dengan MTP ini, kami berharap usaha-usaha ke arah pengkomersialan kerana teknologi itu sendiri telah ada,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, yang menekankan kepentingan sinergi antara sektor kerajaan, industri dan akademia untuk memacu pembangunan negara berasaskan inovasi.

“MOSTI berbangga dapat bersama MIMOS dalam misi ini. MTP 2025 adalah platform penting untuk memadankan penyelidikan dengan keperluan industri, serta memperkukuh ekosistem inovasi negara melalui kolaborasi yang sebenar,” tambahnya.

Datuk Mohammad Yusof Apdal ketika upacara gimik perasmian MTP 2025 di Putrajaya pada Khamis. - Gambar MIMOS Berhad


Sebagai contoh kerjasama merentas industri, syarikat tempatan Ideal Vision telah menggunakan Harta Intelek (IP) MIMOS untuk meningkatkan kecekapan proses pengujian automatik dan penjimatan kos penyelidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Vision, Edmund Yuen berkata kolaborasi dengan MIMOS turut memberi kelebihan kepada syarikatnya untuk bersaing khususnya di pasaran global.

“Langkah ini banyak mengurangkan sumber dan kos R&D, pada masa yang sama mempercepatkan masa ke pasaran, dan seterusnya meningkatkan lagi penyelesaian inovasi dalam Automated Test Equipment (ATE) sebagai piawaian ketepatan global.

“Dengan mengintegrasikan IP bersepadu MIMOS dalam penyelesaian kami, ia memberikan kelebihan dalam mesyuarat projek global. Ia juga membezakan kami daripada pesaing,” ujarnya.

Seiring agenda teknologi negara, MIMOS turut melancarkan inisiatif baharu dinamakan MIMOS Ventures, bertujuan menggalakkan kerjasama komersial dalam bidang teknologi masa depan seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI), dan rangkaian pintar.

Dengan penyertaan lebih 1,000 delegasi tempatan dan antarabangsa, MTP 2025 bukan sekadar mempamerkan keupayaan inovasi tempatan, tetapi mengukuhkan peranan MIMOS sebagai peneraju transformasi teknologi dan ekonomi digital Malaysia. - Gambar MIMOS Berhad








#MTP 2025 #MIMOS Ventures #Zalhan Md Yusof #Edmund Yuen #MOSTI #Mohammad Yusof Apdal