Muat naik kandungan hina Islam, pemuda ditahan

Muhafandi Muhamad
Julai 18, 2022 09:05 MYT
Lelaki berkenaan ditahan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang sekitar jam 11.30 pagi tadi. - Foto PDRM
KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana dipercayai memuat naik kandungan video menghina agama Islam pagi tadi.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, lelaki berkenaan dilaporkan memuat naik video penghinaan melalui laman Facebook dengan nama samaran yang jelas menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.
Lelaki berkenaan ditahan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang sekitar jam 11.30 pagi tadi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah Machang.
Terdahulu menurut Muhamad Zaki, pihak polis menerima laporan berhubung penghinaan agama Islam melalui satu klip video berdurasi 4 minit 14 saat pada jam 9 pagi tadi.
Hina Agama | Lelaki muat naik video hina Islam ditahan
Suspek yang ditahan kemudiannya telah mengaku memuat naik klip video itu selepas disoal siasat oleh pihak polis.
Suspek yang dikesan positif dadah jenis methaphetamine melalui ujian air kencing dan tidak bekerja itu akan direman.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu tular di laman sosial klip video yang memaparkan kata kata penghinaan oleh suspek berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan dan kegelisahan orang ramai.
#hina Islam #pemuda ditahan #Polis Kelantan #machang