KOTA BHARU: Seorang mudir sekolah pondok ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki, Selasa lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah di sini hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun yang juga seorang penceramah bebas itu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi berkata lelaki terbabit ditahan pada jam 1 pagi tadi di sebuah rumah di Machang.

Penahanan itu susulan laporan yang dibuat oleh seorang mangsa iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun yang mendakwa suspek melakukan amang seksual terhadapnya di sebuah rumah di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, 8 pagi, Selasa lalu.

Mangsa mendakwa diminta mengurut badan lelaki itu di ruang tamu sebelum mengajak mangsa masuk ke dalam  bilik. Suspek kemudiannya dikatakan telah melakukan amang seksual terhadapnya.

Susulan kejadian itu mangsa membuat laporan polis pada jam 10.44 malam semalam sebelum suspek ditahan.