Sebelum berdepan rakan di pejabat, pelanggan dan seterusnya komuniti yang berkaitan dengan bidang kerjaya, rata-rata graduan sebenarnya merasai impak kepentingan bahasa tersebut ketika sesi temu duga kerja.
Namun, lebih awal daripada dunia kerjaya tersebut, seseorang calon perlu berdepan dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seterusnya langkah ke arah pengijazahan yang secara tidak langsung bergantung kepada prestasi mereka dalam Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
Selepas sesi pembentangan Bajet 2015 lalu, pelbagai reaksi diterima khususnya mengenai cadangan meningkatkan syarat iaitu perlu lulus pada tahap tertentu mengikut kursus masing-masing. Mereka juga ditanya mengenai nilai seseorang calon graduan di pasaran kerja dengan menguasai bahasa tersebut.
Di persimpangan antara motivasi ataupun beban, Astro Awani bertanyakan kepada beberapa calon yang hari ini menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) di ibu negara.
APA REAKSI PEMBACA?
Bagi calon dari Kolej Universiti Tunku Abdul Tahman (TARC), Vickie Wong, 21, kebolehpasaran seseorang calon yang mampu memahami, bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris sememangnya sebuah persoalan yang normal.
“Kita seharusnya menerima bahawa ini suatu keperluan kerana bahasa Inggeris sudahpun menjadi sebahagian daripada medium interaksi harian hari ini di Malaysia, apatah lagi jika berurusan dengan kelompok antarabangsa,” ujar calon yang mencebuti bidang kursus ukur bahan tersebut.
Menurutnya, realiti pengambilan kerja sekarang banyak berpihak kepada calon temuduga yang mampu bertutur bahasa Inggeris berikutan keperluan syarikat itu sendiri.
Pendapatnya itu turut disokong oleh seorang lagi calon dari institusi pengajian yang sama iaitu Alvin Leow, 30. Penuntut yang sedang mengikuti kursus ijazah dalam bidang pengiklanan itu berpendapat bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa yang penting, bukan sahaja dalam pembelajaran malah dalam menentukan dinamik kebolehpasaran seseorang calon graduan.
“Saya bersetuju dengan cadangan untuk meningkatkan syarat kemasukan ke IPT tersebut kerana ia merupakan langkah yang baik. Lebih-lebih lagi bila bercakap tentang prospek kursus pengajian saya yang banyak berhubung dengan pelanggan.
“Bahasa Inggeris dalam zaman ini bukan sahaja untuk mendapat kerja. Lebih daripada itu, ia memudahkan proses pembelajaran di mana-mana sahaja, sama seperti kita mempelajari bahasa lain seperti Mandarin atau Jepun. Semua itu membantu kita memahami sesuatu sumber maklumat,” katanya.
Cabaran persediaan
Sementara itu, penuntut bidang perubatan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kuala Lumpur, Aliff Fitry Mohamad Sabri, 20, mempunyai pendapat tersendiri mengenai syarat baharu itu.
“Dari segi kualiti, syarat tersebut tidak dinafikan mahu meningkatkan tahap prestasi seseorang calon. begitupun dari satu sudut kemungkinan lain, ia juga menjadi bebanan bagi mereka yang dilihat berpotensi dalam kursus pengajian tetapi menghadapi kekangan akibat tidak mencapai tahap kelulusan yang ditetapkan MUET.
“Beban yang dimaksudkan itu adalah dari segi kewangan jika calon itu terpaksa mengulangi. Cabaran seterusnya adalah ulang persediaan bagi menghadapinya memandangkan penuntut juga perlu membahagi masa yang dilambakkan dengan kerja-kerja lain sepanjang kursus pengajian,” ujar calon dari Taiping, Perak tersebut yang kini kali kedua menduduki ujian berkenaan.
Kegusaran itu turut dizahirkan rakan kursus Aliff dari institusi yang sama iaitu Arif Mokhtar, 20.
Mohon cadangan memperkenalkan syarat baharu kemasukan ke IPTA dipertimbangkan - Astro AWANI/Shahir Omar
“Memanglah ia menambah nilai kebolehpasaran seseorang graduan tapi untuk penuntut bidang perubatan seperti kami, tidak perlulah sampai ke tahap kelulusan Band 5 untuk pengijazahan. Bukankah Band 4 sahaja sudah cukup bagus?” kata Arif yang berasal dari Kelantan.
Mengakui bahawa bahasa Inggeris bukan kelaziman pertuturan dalam lingkungan persekitaran negeri asalnya, Arif mengakui bahawa dia sedikit resah dengan pengumuman cadangan tersebut.
“Saya berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan oleh pihak berwajib. Bukan kami tidak mahu berusaha, cuma kami percaya bahawa kemampuan penggunaan bahasa Inggeris boleh diperbaiki seiring usia dan masa dalam perjalanan hidup seseorang,” jelasnya.
Aliff dan Arif memberitahu, antara persediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan MUET adalah dengan banyak membaca, latihan interaksi dengan rakan kuliah dan juga menonton video.
Berbalik kepada usaha
Calon peperiksaan MUET yang berasal dari Kuala Lumpur, Ridwana Mohd. Redzuan, 18, pula berpendapat, cadangan syarat baharu itu membawa dua implikasi.
“Pertama, bagi yang merasakan ini suatu cabaran yang perlu ditempuhi, ia menaikkan semangat mereka untuk berusaha ke arah yang lebih baik. Sebaliknya, bagi calon yang merasai keperitan syarat tersebut, ia boleh melemahkan semangat mereka lalu akhirnya dikhuatiri berputus asa dalam mengejar cita-cita,” ujarnya yang merupakan penuntut bidang undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Tambahnya, persediaan yang menjadi kebiasaan seseorang calon di UiTM adalah dengan mengikuti subjek latihan asas bahasa Inggeris dengan bimbingan pensyarah.
“Terdapat pensyarah yang memberi bimbingan sepenuhnya dalam hal ini, manakala ada sebahagiannya tidak dapat menawarkan kerjasama penuh berikutan kekangan tertentu,” katanya.
Bagi penuntut kursus asas sains dari institusi yang sama, Nurul Ain Mohd. Fadhil, 18, peperiksaan MUET tidak perlu dianggap sebagai satu cabaran yang mustahil untuk dihadapi.
“Setuju atau tidak dengan syarat tersebut, penuntut perlu sedar bahawa bahasa Inggeris sangat penting untuk dikuasai dalam zaman ini, malah ia sudahpun menjadi medium penting lebih daripada 10 tahun lalu.
“Menaikkan tahap kelulusan untuk syarat kemasukan dan pengijazahan bermakna ia suntikan motivasi untuk seseorang calon memperbaiki diri. Seseorang calon seharusnya mengurangkan rasa bimbang itu dengan bertenang dan dapatkan bimbingan yang berkaitan.
“Perkara yang penting adalah melatih diri untuk terus menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan seharian mereka,” ujar Nurul Ain yang sempat berseloroh bahawa pegawai pengawas MUET tidaklah tegas dan ‘menakutkan’ ketika dalam sesi peperiksaan.
Penuntut ijazah psikologi dari TARC, Wong Kai Yan, 21, mengiyakan kata-kata tersebut dengan sekali lagi menasihatkan semua calon agar bersikap positif terhadap sebarang perubahan dalam syarat kemasukan ke IPT itu.
Semua harus bersifat positif terhadap sebarang perubahan dalam syarat kemasukan IPTA, Kai Yan - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
“Seperti dalam kursus pengajian saya, bahasa tersebut amat penting untuk keperluan interaksi dengan pelanggan. Saya percaya ia juga kini menjadi bahasa utama untuk mana-mana perkembangan bidang pengajian lain.
“Ia bahasa semasa, ia bahasa antarabangsa. Kita perlu mengenal pasti banyak manfaat yang bakal kita perolehi melalui penguasaannya,” ujar Kai Yan optimis.