MELAKA: Skuad Sang Kancil diingatkan supaya terus bangkit dan melupakan episod kekalahan 0-1 ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Pengendali Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) Zainal Abidin Hassan berkata biarpun kecewa kehilangan mata berharga namun beliau mahu para pemainnya mengambil iktibar agar tidak lagi mengulangi kesilapan mudah seterusnya menyebabkan pasukan dihukum.

Beliau berkata baki perlawanan seterusnya amat penting untuk pasukan itu mengutip mata dan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super musim ini sekali gus mengelakkan diri daripada zon penyingkiran.

"Selepas ini, kami akan bertandang ke tempat lawan bertemu Penang FC, semua pemain perlu kekal berdisiplin dan sudah pasti kami tak mahu lagi berlaku kesilapan di awal permainan menyebabkan kami terpaksa bertungkus lumus mencari gol penyamaan.

"Kami mahu mereka teruskan permainan yang memberangsangkan dan saya nampak mereka menunjukkan permainan yang mempunyai semangat berpasukan dan persefahaman yang baik.. Insya-Allah sedikit demi sedikit kami yakin akan capai satu tahap yang diharapkan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini.

Terdahulu dalam aksi malam tadi, pasukan bimbingan Benjamin Mora memperoleh jaringan seawal minit kedua menerusi tendangan penalti disempurnakan Bergson Da Silva selepas pemain JDT, Gonzalo Cabrera dijatuhkan pemain tuan rumah, Mohd Akmal Zahir.

Mengulas mengenai perlawanan itu Zainal berkata walaupun tumpas, pujian harus diberikan kepada pemain yang telah mempamerkan kesungguhan mencari gol penyamaan selain tidak menunjukkan keletihan walaupun berdepan dengan jadual yang padat.

"Bagi saya inilah bola sepak kita bermain selama 90 minit tetapi sedikit kesilapan telah membawa padah apabila kita didera dengan satu gol di awal minit permainan.

"Di sini pemain juga harus ingat mereka masih ada tugas penting dan dengan kemasukan semula beberapa pemain pada perlawanan akan datang, yang sebelum ini dilanda kecederaan dan digantung, kami harap MUFC mampu mengutip mata," katanya.

Keputusan perlawanan itu turut menyaksikan JDT semakin melebarkan penguasaan dalam memburu gelaran kelapan selaku juara Liga Super berturut-turut apabila unggul di tangga teratas dengan 42 mata manakala MUFC masih bergelut di kedudukan ke-10 dengan 16 mata.

-- BERNAMA