KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada Ahad.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak.

Harussani yang menyandang jawatan Mufti Perak sejak 1985 dan isteri Puan Sri Ainon Abdul Ghani disahkan dijangkiti COVID-19 sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu. 

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengesahkan Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Melayu Sungai Rapat, Ipoh.

Berkongsi kesedihan pemergian Harussani, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainal Abidin menggambarkan Allahyarham sebagai seorang tokoh agama yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara.

"Semoga Allah merahmati, mengampuni serta memasukkan TS DS Harussani Zakaria dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh.

"Seorang tokoh agama di tanah air kita dengan pelbagai sumbangannya. Marilah kita mendoakan agar Allah menempatkan beliau di tempat yang mulia. Ucapan takziah untuk seluruh keluarga beliau, Jabatan Mufti Perak, dan seluruh rakyat Perak," kata Mohd Asri di Facebook peribadinya.

BACA: Mufti Perak, isteri positif COVID-19

  
Sumber Facebook DrMAZA

Sementara itu, pemergian Harussani juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Setiap kali ke Perak, saya akan usahakan untuk mengunjungi beliau. Memohon doa dan restu “orang lama” yang juga ilmuan yang amat disegani.

“Moga Allah SWT tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh, disisi-Nya. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah,” kata Zulkifli dalam hantaran di Facebooknya.

Gambar kenangan Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Allahyarham Harussani Zakaria yang dirakamkan tiga tahun lalu.

Selain menitipkan doa kepada keluarga Mufti Perak itu agar tabah dan sabar menghadapi dugaan ini, Zulkifli turut berkongsi foto kenangan dengan Allahyarham yang dirakamkan sekitar tiga tahun lalu.

Allahyarham Tan Sri Harussani meninggal seorang balu, Isteri: Puan Sri Ainon Abdul Ghani dan empat orang anak. 

BIODATA ALLAHYARHAM TAN SRI HARUSSANI

Tarikh lahir: 8 April 1939

Tempat lahir: Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak

Isteri: Puan Sri Ainon Abdul Ghani

Anak: 4 orang anak

PENDIDIKAN:
Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak
Anglo Chinese School, Parit Buntar, Perak
1956 – 1959: Madrasah Manabi’Ul Ulum, Penanti
1959 – 1960: Kuliah Al-Attas, Johor Bharu, Johor
1960 – 1964: Sijil Tertinggi Pendidikan Kolej Islam Malaya , Klang, Selangor

JAWATAN:
1964 – 1967: Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri
1967 – 1973: Kadi, Jabatan Agama Pulau Pinang
1968 – 1978: Pensyarah Sambilan, Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Gelugor, Pulau Pinang
1970 – 1984: Pensyarah Sambilan, Sekolah Latihan Pergigian Pulau Pinang
1973 – 1985: Kadi Besar, Jabatan Agama Pulau Pinang
1985 – 2021: Mufti Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Agama Perak

PENERBITAN:
Irsyad Hukum (Menyentuh Persoalan Semasa)
Muammalah Hidup Islam – (Kompilasi 13 Tajuk Kertas-kerja) (1996)
Syaitan Musuh Insan, Tahun (4) Siri (17) (1398/1978)
Hukum-Hukum Perkahwinan (1999)
Amalan Di Bulan Ramadhan Mengikut Al-Quran dan As-Sunnah (1998)
Rukyah dan Hisab (2000)
Ibadah Qurban (1999)

BACA: Mufti Perak selamat dikebumikan