MALAYSIA
Muhammad Nur Manuty sahabat karib, tokoh agama dan intelektual - PM Anwar
Anwar (kanan) menyifatkan Prof Dr Muhammad Nur Manuty (kiri) sebagai sahabat karib dan tokoh aktif dalam bidang agama, pendidikan dan intelektual. -Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty sebagai seorang sahabat karib, dan indiividu yang sangat aktif dalam bidang pemikiran agama, pendidikan dan intelektual.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan Prof Dr Muhammad Nur Manuty sebagai sahabat karib dan tokoh aktif dalam bidang agama, pendidikan dan intelektual.
- Allahyarham meninggal dunia pada usia 76 tahun dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi selepas solat Asar.
- Beliau pernah memegang jawatan penting seperti Pengerusi IKIM dan UniSZA, serta menerima penghormatan tertinggi daripada MCAS atas sumbangannya.
Anwar berkata Allahyarham, yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), turut aktif dalam PKR.
"Saya terkesan dan sangat sedih dengan pemergian beliau tatkala kami sempat bertemu beberapa hari yang lalu.
"Saya mendoakan agar roh beliau diampuni oleh Yang Maha Esa dan ditempatkan bersama para syuhada, serta keluarganya dikurniakan kekuatan, kecekalan, dan ketabahan oleh-Nya, Insya-Allah," katanya dalam hantaran di Facebook.
Muhammad Nur, 76, meninggal dunia pada 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.
Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1 Okt 2018 hingga 30 Sept 2021.
Pada 18 Jan lepas, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepimpinan dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#Muhammad Nur Manuty
#Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia
#Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas