MALAYSIA

Muhammad Shahrul Ikram dilantik Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat

Astro Awani 03/06/2025 | 03:15 MYT
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada Selasa. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Istiadat pengurniaan watikah pelantikan berlangsung di Istana Negara, di sini, pada Selasa.

Hadir sama pada istiadat tersebut ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Muhammad Shahrul, anak kelahiran Pahang, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya dan turut mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1988 dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.

Sepanjang lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam, Muhammad Shahrul pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Austria serta Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015, dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.

Selain itu, pengalaman diplomatiknya turut merangkumi penempatan di beberapa perwakilan Malaysia di luar negara, termasuk di Vienna (Austria), Washington D.C. (Amerika Syarikat) dan Beijing (China).









#Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram #Duta Besar Malaysia ke Amerika #Yang di-Pertuan Agong #watikah pelantikan #Wisma Putra