Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri ke-8

Najib Aroff
Mac 1, 2020 03:22 MYT
Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Jabatan Penerangan
Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan hari ini.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singahsana Kecil, Istana Negara, pada jam 10.33 pagi.
Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari lalu.
BACA: 'Kemelut ini kerana perbuatan khianat kepada mandat rakyat' - Saifuddin
Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan isteri Muhyiddin iaitu Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8
Pada 24 Februari lalu Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh kepada Al-Sultan Abdullah.
Hari yang sama, Baginda menerima peletakan jawatan itu serta berkenan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.
Pelantikan itu sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
#angkat sumpah #Istana Negara #kemelut politik #Mahathir Mohamad #Malaysia2020 #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #PM #PM8 #PPBM #Yang di-Pertuan Agong