Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menerima peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran Negara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik dan kabinet dibentuk,' kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Dr Mahathir pada pukul 1 tengah hari Isnin telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh kepada Yang di-Pertuan Agong.

BACA: Tun Mahathir letak jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Bersatu


Perkembangan itu mengundang pelbagai tanda tanya dan spekulasi berhubung pertukaran pakatan.

Susulan perkembangan yang mengejutkan itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di sebelah pagi telah merayu kepada Perdana Menteri untuk tidak melepaskan jawatannya.

BACA: "Saya rayu Dr Mahathir jangan letak jawatan" - Anwar


Selain pengumuman peletakan jawatan oleh Dr Mahathir, perkembangan lain yang turut berlaku hari ini ialah keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar dari Pakatan Harapan.
BACA: Bersatu umum keluar Pakatan Harapan


Serentak keputusan Bersatu untuk tidak bersama gagasan itu, Dr Mahathir juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi parti berkenaan.

Dalam masa sama, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengumumkan pemecatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

BACA: Azmin, Zuraida dipecat dari PKR berkuat kuasa serta-merta