KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet khas bagi menangani isu pengeluaran beras negara yang semakin merosot dan kebergantungan tinggi terhadap import.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia kini berada pada tahap kritikal yang memerlukan langkah intervensi lebih tegas dan berani bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan serta memperkukuh tahap keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata jawatankuasa itu dicadangkan untuk merangka pelan induk bagi tempoh lima tahun, dengan tindakan segera perlu dilaksanakan bagi memastikan peningkatan hasil pengeluaran dapat dicapai dalam tempoh lebih singkat.
“Kalau nak anggap ini adalah satu krisis, YB Menteri, saya fikir ia sudah satu krisis.
“Jadi bagi saya, kita telah mencapai detik kritikal sekarang ini untuk menentukan langkah-langkah yang lebih tegas dan berani. Saya akan sokong 100 peratus, desak Perdana Menteri supaya ditubuhkan jawatankuasa kabinet khas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2027 yang diturunkan kepada 54 peratus daripada 59.9 peratus, sedangkan pencapaian sebenar pada 2025 ialah 54.3 peratus.
Menurutnya, penetapan sasaran lebih rendah daripada pencapaian sebenar terdahulu tidak mencerminkan usaha meningkatkan pengeluaran beras negara, lebih-lebih lagi apabila sasaran SSR beras di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) ialah 80 peratus menjelang 2030.
Beliau berkata kebergantungan terhadap beras import turut kekal tinggi, dengan nilai import berjumlah RM3.7 bilion pada 2024 dan RM2.953 bilion pada 2025.
“Persoalannya, bagaimana kita mahu mencapai sasaran tersebut sekiranya sasaran bagi 2027 hanya ditetapkan pada 54 peratus?” katanya.
Muhyiddin menjelaskan antara faktor yang menjejaskan pengeluaran beras tempatan ialah kawasan tanah pertanian yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya, peningkatan usia petani serta kos input pertanian yang tinggi, termasuk benih padi, baja dan racun serangga.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan petani berdepan kesukaran untuk meningkatkan pengeluaran, sekali gus memerlukan kerajaan menilai semula bentuk bantuan dan sokongan yang diberikan kepada golongan berkenaan.
Muhyiddin turut mencadangkan supaya kerajaan melancarkan semula pendekatan Revolusi Hijau bagi meningkatkan pengeluaran pelbagai hasil pertanian dan makanan tempatan, termasuk sumber daging.
Beliau berkata langkah itu penting memandangkan Malaysia turut berdepan cabaran meningkatkan bekalan daging dalam negara, sedangkan kebergantungan terhadap import terus meningkat bagi memenuhi permintaan.
“Saya tahu, saya pernah ada di situ dan ia tidak mudah. Tetapi kalau situasi keadaan global mencabar dan Malaysia tidak mengambil tindakan yang lebih berani untuk menghadapi masalah itu, maka ia akan menjadi satu beban yang lebih besar pada masa akan datang,” ujarnya.