MALAYSIA

Muhyiddin gesa RCI siasat dakwaan integriti pelantikan hakim

Azyyati Ahmad 14/07/2025 | 02:30 MYT
MUHYIDDIN: Saya bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli. - Facebook Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan campur tangan dalam pelantikan hakim di negara ini.

Ia susulan pendedahan minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) bertarikh 16 Mei 2025 yang didakwa bocor kepada umum.

Menurut Muhyiddin, pendedahan itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan dakwaan serius terhadap integriti seorang hakim mahkamah atasan yang dilaporkan pernah cuba mempengaruhi keputusan penghakiman dan memindahkan seorang hakim yang tidak sehaluan dengan bekas Peguam Negara.

"Ini suatu dakwaan salah guna kuasa dan campur tangan dalam badan kehakiman yang serius. Hak dan kebebasan seseorang untuk mendapatkan keadilan boleh terjejas sekiranya perkara ini benar-benar berlaku," katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Jelas beliau, integriti merupakan syarat utama dalam pelantikan hakim sebagaimana digariskan di bawah Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang turut menekankan kompetensi dan pengalaman sebagai kriteria asas.

Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan campur tangan badan eksekutif, khususnya Perdana Menteri, dalam urusan pelantikan kehakiman yang membabitkan kepentingan peribadi dalam kes mahkamah.

"Saya bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli.

"Justeru, Perdana Menteri hendaklah mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan.

"Barulah sebuah RCI yang bebas dapat ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang dalam pelantikan hakim,” tegasnya.

Kata Muhyiddin lagi, hanya melalui penyiasatan bebas, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman sebagai benteng terakhir keadilan dapat dikembalikan sepenuhnya.




#Muhyiddin Yassin #integriti #hakim #pelantikan hakim #RCI #salah guna kuasa