MUIP ganti alat bantuan pernafasan rosak akibat banjir

Sinar Harian
Januari 8, 2022 03:13 MYT
Dr Asmadi (kiri) menyerahkan alat bantuan pernafasan kepada Norfardilatul Akmar (kanan) di rumahnya pada petang Jumaat. -Foto Sinar Harian
KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menggantikan alat bantuan pernafasan Mohd Hisyamuddin Mohd Asri, 7, yang rosak akibat ditenggelami banjir selepas kisahnya disiarkan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, alatan tersebut telah diserahkan kepada ibunya, Norfardilatul Akmar Mustafa, 38, sekali gus memberi keselesaan kepada Mohd Hisyamuddin untuk bernafas dengan lebih sempurna.
"Kita bukan sahaja memberi bantuan alatan pernafasan, tetapi turut menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM200 bagi keperluan asas kepada keluarga ini di mana-mana Pasaraya Darul Makmur berhampiran.
"Keluarga ini sudah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan kita harap bantuan itu dapat meringankan beban mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Bantuan alatan itu diserahkan kepada Norfardilatul Akmar di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin di sini pada petang Jumaat.
Sinar Harian menyiarkan kisah pasangan suami isteri yang ditimpa malang berganda apabila alat bantuan pernafasan anaknya rosak, selain berdepan kemusnahan harta benda akibat banjir.
Norfardilatul Akmar memberitahu anaknya bongsunya mempunyai masalah paru-paru kronik kini berdepan kesukaran untuk bernafas dengan lebih sempurna dan meminta sumbangan orang ramai.
Dr Asmadi memaklumkan alatan yang disumbangkan itu dianggarkan berjumlah RM6,000 dan berharap pasangan terbabit tidak berputus asa untuk menjaga anaknya yang diuji dengan kesakitan.
Sementara itu, Norfardilatul Akmar melahirkan rasa bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh MUIP.
Jelasnya, dia kini boleh menarik nafas lega kerana bantuan yang diberikan ini amat bermakna baginya kerana kesempitan hidup menjadikan mereka tidak mampu mendapatkan alat bantuan pernafasan ini untuk anaknya.
"Terima kasih kepada pembayar-pembayar zakat kerana hasil zakat inilah yang membantunya pada hari ini," ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian
#banjir #Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang #MUIP #Mohd Hisyamuddin Mohd Asri #alat bantuan pernafasan