Mujahid tidak ada kuasa ubah operasi khalwat - Asyraf Wajdi

Diyana Ibrahim
Oktober 6, 2018 11:45 MYT
ASYRAF WAJDI: Mujahid Yusof Rawa tidak mempunyai kuasa mengubah operasi penguatkuasaaan khalwat, sebaliknya ia ditentukan oleh Majlis Diraja Melayu. -Gambar fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa tidak mempunyai kuasa mengubah operasi penguatkuasaaan khalwat, sebaliknya ia ditentukan oleh Majlis Diraja Melayu, kata Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Tegasnya, kenyataan menteri yang memegang portfolio hal ehwal agama itu telah melangkaui kuasa Majlis Diraja Melayu dan ia dikhuatiri boleh menguris perasaan institusi tersebut.
"Pertama sekali saya tak pasti dia cakap dalam keadaan sedar atau tidak. Dia bercakap seolah dia punya 'authority' (kuasa) dan melangkaui Raja Melayu... seolah dia mempunyai kuasa paling tinggi dan besar.
"Raja Melayu ada kuasa menentukan hal agama negeri masing-masing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyatan Mujahid bahawa tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika terdapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.
Kenyataan beliau itu menerima reaksi daripada pelbagai pihak.
Keputusan itu disokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, namun Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata jika tindakan tersebut tidak boleh dilakukan untuk cegah maksiat maka hapuskan saja undang-undang sedia ada.
Asyraf yang juga merupakan bekas timbalan menteri dibawah hal ehwal agama berkata Mujahid sepatutnya merujuk perkara itu kepada Majlis Diraja Melayu terlebih dahulu.
Katanya lagi, tidak timbul soal penguatkuasaan keterlaluan kerana pegawai agama mematuhi standard operasi prosedur yang ditetapkan.
Katanya, setiap serbuan dilakukan adalah berdasarkan aduan orang ramai dan ia bukan tindakan semberono oleh pegawai agama.
"Setakat saya tahu, saya dulu berada di Jabatan Perdana Menteri dalam bidang hal ehwal agama. Semua jabatan agama Islam ada SOP sendiri yang ketat.
"Kalau Mujahid nak tunjuk kepada rakan beliau di peringkat DAP, PKR bahawa beliau menjaga keluasan dan kebebasan agama dalam pelbagai bentuk kefahaman.
"Ia mungkin nampak begitu lunak, namun apa saja desakan (parti) yang beliau perlu perhalusi ialah SOP bukan penguatkuasaan. Nak hapus penguatkuasaan, beliau patut rujuk dulu pada Majlis Diraja Melayu.
#DAP #hal ehwal agama #Harussani Zakaria #Ketua Pemuda UMNO #Mahathir Mohamad #Majlis DiRaja Melayu #Mujahid Yusof Rawa #Pemuda UMNO