Skip to main content

Malaysia

Mukhriz umum tanding Naib Presiden UMNO

71376557128_295x200.jpg
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir secara rasmi mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu pada 19 Oktober ini.

Ini menjadikan sekarang ada sekurang-kurangnya enam calon yang akan bertanding untuk jawatan itu termasuk tiga penyandangnya.

Menurut Mukhriz, beliau membuat keputusan itu selepas mendapatkan nasihat daripada pemimpin pelbagai lapisan serta selepas menilai kemampuan dirinya sendiri untuk memikul tanggungjawab.

"Saya telah memikirkan kesesuaian masa dan amanah yang tinggi bagi setiap jawatan. Saya telah tanyakan diri sendiri apakah saya bersedia. Saya telah menimbang perkara ini dari setiap sudut," katanya dalam satu ucapan kepada ahli-ahli UMNO Badan Perhubungan Negeri Kedah di kediaman Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon petang ini.

Profil politik Mukhriz

Mukhriz sebelum ini belum pernah menjawat jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO. Dalam pemilihan pada 2009, beliau kalah kepada Khairy Jamaluddin dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Dalam pada itu, Mukhriz berharap pertandingan itu nanti akan berjalan dengan baik tanpa sebarang tindakan yang boleh mencemarkan nama baik UMNO dan parti terus kekal kuat dan bersatu.

Beliau juga memohon restu dan doa setiap warga UMNO Kedah dan berharap mereka memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi.

Sementara itu, Mukhriz mengumumkan bahawa UMNO Kedah mahu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti kerana mereka adalah "gandingan terbaik dan harus disokong 100 peratus."

"Jika ada pihak yang berhasrat mencabar (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden), UMNO Kedah akan bersatu mempertahankan kedua-dua pemimpin kita ini," katanya.

Dalam ucapannya Mukhriz mengimbau dengan ringkas peranan besar UMNO dalam sejarah negara daripada Malayan Union sampai kepada Merdeka dan ujian yang dihadapi oleh parti itu sejak pilihan raya pertama sehingga peristiwa 13 Mei 1969.

Katanya, perkembangan sosio politik terkini negara menunjukkan bagaimana pentingnya UMNO menyesuaikan diri dengan peralihan zaman untuk kekal relevan.

"Kita mesti faham masalah rakyat dan merasakan denyut nadi mereka. UMNO mesti kekal relevan di mata rakyat, dan mesti berani berubah," tegas beliau.

Jelas Mukhriz, apa saja yang dilakukan oleh pemimpin UMNO mestilah selari dengan landasan perjuangan parti, bertujuan untuk memperkukuhkan parti dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Mukhriz turut mengumumkan tiga pemimpin UMNO dari Kedah yang kini menganggotai Majlis Tertinggi akan mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti nanti iaitu Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam pada itu, Mukhriz mengumumkan bahawa Tan Sri Badruddin Amiruldin akan mempertahankan jawatan sebagai pengerusi tetap.

Penamaan calon bagi jawatan Majlis Tertinggi ialah pada 28 September manakala pemilihan akan berlangsung pada 19 Oktober. Perhimpunan Agung UMNO pula dijadualkan pada awal Disember ini.

Must Watch Video