Mulai tahun depan, topi keledar perlu ada tanda SIRIM ini

Bernama
Disember 12, 2018 20:20 MYT
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kiri) bersama Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Mohd Azanuddin Salleh (kanan) menunjukkan topi keledar buatan Malaysia. - Foto Bernama
SIRIM Berhad melalui anak syarikatnya, SIRIM QAS International akan memperkenalkan label keselamatan SIRIM baharu yang lengkap dengan teknologi kod QR untuk topi keledar, mulai awal tahun depan.
Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh berkata label baharu berkenaan akan memudahkan pengguna memperoleh maklumat mengenai status pengesahan topi keledar yang dibeli dengan pantas dan tepat.
"Dengan penggunaan label keselamatan ini, pengguna akan dapat memastikan topi keledar dibeli tulen dan memenuhi ciri-ciri keselamatan ditetapkan. Untuk menggunakan ciri baharu ini, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SIRIM QAS International melalui App Store bagi pengguna IOS dan Play Store bagi pengguna Android," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Mohd Azanuddin berkata selain kod QR, label baharu SIRIM bagi topi keledar masih mengekalkan ciri-ciri keselamatam lain, antaranya penggunaan teknologi UV, teks mikro, mempunyai Paten Guillouche dan dicetak di atas kertas berkualiti tinggi.
Sementara itu, Shaharuddin dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan berkenaan berkata pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi membanteras kemasukan dan penjualan topi keledar tidak mengikut piawaian ditetapkan kerajaan.
"Sebarang kemasukan topi keledar dari luar negara perlu memenuhi standard Peraturan Malaysia Standard MS 1 dan Peraturan UNR 22. Bagi topi keledar mendapat persijilan UNR 22, penandaan pada topi keledar adalah berupa huruf E yang boleh didapati di tali pengikat dan cermin pelindung muka," katanya.
Justeru, beliau berkata penting bagi mana-mana pihak ingin membawa masuk topi keledar ke negara ini bagi tujuan simpanan atau jualan memastikan barangan mereka mematuhi peraturan berkenaan atau berdepan risiko ditahan dan tidak dibenarkan dibawa masuk oleh JKDM.
-- BERNAMA
#App Store #keselamatan #Malaysia #Mohd Azanuddin Salleh #qr #Sirim #topi keledar