KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memberi pendidikan untuk semua termasuk murid berkeperluan pendidikan khas (MPBK) sehingga mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Khas KPM, Rodiah Idris, mereka akan sentiasa mengamalkan prinsip pendidikan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang dan ketidakupayaan melalui bidang pendidikan dan kemahiran.

“KPM menyediakan dua aliran peluang pembelajaran kepada MBPK, iaitu aliran akademik dan kemahiran.

“Kami telah menghasilkan empat jenis kurikulum yang bersesuaian dengan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013.

“Antaranya Kurikulum Kebangsaan dan yang telah diubah suai oleh Ketua Pendaftar iaitu kurikulum berdasarkan ketidakupayaan MBPK,” katanya.

Menurutnya, subjek yang diubah suai termasuk Bahasa Melayu (Suaian) untuk MBPK Pendengaran dan Pendidikan Jasmani (Suaian) dan Pendidikan Kesihatan untuk MBPK Penglihatan.

Namun, ia tidak terhenti di situ, kerana KPM turut komited menyediakan kurikulum berbentuk kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran yang melayakkan MBPK memperoleh SKM.

“KPM menyediakan peluang kepada MBPK untuk mendapatkan SKM melalui pembelajaran dalam bidang kemahiran di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Sekolah  Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Kolej Vokasional  Keningau.
 
“Manakala MBPK di Program Pendidikan Khas Integrasi di sekolah menengah harian biasa juga berpeluang mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia secara modular,” katanya lagi.

Menurut KPM, terdapat enam kategori MBPK yang menjadi perhatian mereka bagi menyediakan peluang pendidikan termasuk Ketidakupayaan pendengaran, Ketidakupayaan penglihatan, Ketidakupayaan pertuturan dan Ketidakupayaan fizikal.

Ia juga termasuk dengan masalah pembelajaran (merangkumi murid Sindrom Down,  Autisme, Attention Defect Hyperactive Disorder atau ADHD serta ketidakupayaan pelbagai. 

Rodiah turut memaklumkan kepada Astro AWANI sehingga 31 Julai 2023, jumlah keseluruhan MBPK adalah seramai 112,746 orang, dan pihaknya komited membantu murid ini agar tidak keciciran pendidikan dan diberi peluang pekerjaan.

“MBPK yang tamat persekolahan di sekolah KPM mempunyai pelbagai kemahiran yang dapat membantu mereka menceburi bidang pekerjaan bersesuaian dengan kehendak pasaran masa kini. 

“KPM berharap agar pihak industri awam atau swasta memberi peluang kepada MBPK dalam bidang pekerjaan sebagai rakyat Malaysia yang boleh turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya lagi.

Bagi ambilan tahun 2024, KPM telah membuka permohonan kemasukan Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bermula 10 September hingga 7 November 2023 yang lalu secara dalam talian melalui https://epkhas.moe.gov.my/.

Permohonan ini terbuka kepada MBPK yang ingin ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Kolej Vokasional Keningau.

Manakala bagi MBPK yang ingin ke PPKI permohonan boleh dikemukakan kepada pihak  Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah berhampiran.