MALAYSIA

Murid darjah satu dakwa dibuli, dipijak-pijak senior

Umavathi Ramayah 17/10/2025 | 07:07 MYT
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan dilaporkan dalam keadaan stabil. - Tangkap layar video tular
SHAH ALAM: Lagi dakwaan kes buli membabitkan pelajar sekolah.


Ringkasan AI
  • Polis siasat kes buli murid darjah satu di sebuah sekolah di Seksyen 32, Shah Alam, selepas mangsa mendakwa dipukul pelajar berusia sembilan tahun di kantin.
  • Mangsa alami kecederaan dan dirawat di Hospital Shah Alam, mendakwa dipijak berulang kali serta diugut; kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
  • Kes tular di media sosial selepas ibu mangsa memuat naik gambar baju sekolah kotor dipercayai akibat dibuli.


Kali ini melibatkan seorang murid darjah satu yang mendakwa dia dibelasah sekumpulan pelajar senior di sebuah sekolah di Seksyen 32, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau memberitahu, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kita terima laporan daripada ibu mangsa pada jam 9.51 malam, Rabu lalu.

"Dalam laporan itu, pengadu memaklumkan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dipukul pelajar berusia sembilan tahun ketika berada di kantin sekolah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Mohd Iqbal berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Difahamkan, mangsa mendakwa dipijak berulang kali di bahagian perut, dada dan kaki, selain mulutnya ditekup serta diugut akan dicekik sekiranya melawan atau menjerit.

Sebelum ini, kejadian itu menjadi tular apabila seorang wanita memuat naik hantaran di media sosial, menyatakan anaknya menjadi mangsa buli di sekolah.

Antara yang dikongsi termasuk gambar baju sekolah anaknya yang kotor dipercayai akibat dipijak dan dibuli murid terbabit.



#mangsa buli #media sosial #sekolah #Kementerian Pendidikan