SEREMBAN: Bapa kepada murid tahun satu yang dikurung dalam sebuah ruangan pagar besi seperti yang tular dalam laman sosial telah menerima penjelasan guru terlibat dengan baik dan memaafkannya.

Ketua Polis Daerah Rembau Supt Hazri Mohamad berkata satu perjumpaan telah diadakan membabitkan keluarga murid itu, pegawai pendidikan daerah Rembau, pihak sekolah dan polis, 9 pagi tadi berhubung isu itu.

Beliau berkata hasil siasatan polis menerusi pegawai perhubungan sekolah mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 8.30 pagi semalam di sebuah sekolah di Rembau iaitu guru lelaki berusia 43 tahun mendenda murid itu di ruangan besi kerana masalah disiplin.

"Ruangan terbabit merupakan bilik pameran persatuan pencegahan dadah sekolah. Tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian ini setakat ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hazri menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

Tular di laman Twitter sejak semalam ciapan seorang lelaki mendedahkan perkara itu dan tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp dipercayai antara guru dan ibu bapa serta penjaga pelajar kelas berkenaan.

-- BERNAMA