MALAYSIA

Murid lemas: JPWPKL siasat pematuhan SOP penganjuran program kolam renang

Bernama 08/11/2025 | 12:15 MYT
JPWPKL menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang kematian kerana lemas sewaktu menyertai sebuah program luar baru-baru ini. - Gambar Facebook JPWPKL
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) akan melaksanakan siasatan dalaman bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran program sokongan keyakinan air, susulan kematian seorang murid lelaki berusia 11 tahun semalam.


Ringkasan AI
  • JPWPKL akan jalankan siasatan dalaman berkaitan pematuhan SOP program sokongan keyakinan air susulan kematian murid lelaki 11 tahun semalam.
  • Pihak JPWPKL memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kematian murid tersebut.
  • Pasukan kaunselor dan guru bimbingan serta kaunseling turut bergerak memberi sokongan psikososial kepada murid, guru, dan warga sekolah terlibat.


JPWPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes itu kini berada dalam siasatan pihak polis dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

"JPWPKL menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang kematian kerana lemas sewaktu menyertai sebuah program luar baru-baru ini. Bantuan awal dan sokongan telah diberikan kepada keluarga," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan jabatan itu, pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah terbabit.

Murid lelaki berumur 11 tahun dari sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur itu, disahkan meninggal dunia semalam selepas dua hari mendapat rawatan setelah lemas ketika menjalani program sokongan keyakinan air di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur CP Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) i,tu pada hari sama kejadian berlaku.

-- BERNAMA


#meninggal dunia #lemas #ucapan takziah #SOP