KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah menyediakan sokongan psikososial kepada keluarga dan warga sekolah susulan kematian seorang murid perempuan Tahun Satu yang dilaporkan mengalami kesukaran bernafas di sebuah sekolah di Dengkil, pada Isnin.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kementerian merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid berkenaan dan akan memberikan tumpuan kepada kebajikan keluarga serta warga sekolah yang terkesan.
Menurutnya, siasatan berhubung kejadian itu diserahkan kepada pihak polis.
“Saya ingat Ketua Polis Daerah Sepang juga telah membuat kenyataan. Jadi, kami akan ikut pandangan itu berdasarkan siasatan polis.
“Buat masa ini, tumpuan KPM adalah kepada keluarga dan warga sekolah untuk kita berikan sokongan dari segi psikososial. Siasatan akan dilakukan oleh pihak polis,” katanya pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 [Akta 876] di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan Tahun Satu meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di Dengkil, pada Isnin.
Menurut bapa mangsa, doktor memaklumkan saluran pernafasan anak perempuannya dipercayai tersumbat oleh makanan, namun belum dapat mengesahkan sama ada ia berpunca daripada pisang atau ayam.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 7.30 malam, sehari sebelum kenyataan berkenaan dikeluarkan.
Dalam pada itu, sebarang kaitan antara kejadian tersebut dengan keadaan jerebu belum dapat dipastikan berdasarkan maklumat yang diberikan.