Murid sekolah tak wajib pakai tali leher mulai tahun hadapan - KPM

KPM menegaskan bahawa pemakaian tali leher tidak lagi wajib bagi murid sekolah mulai sesi persekolahan tahun depan. - Gambar hiasan/Sinar Harian
SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pemakaian tali leher tidak lagi wajib bagi murid sekolah mulai sesi persekolahan tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat siaran bertarikh 17 Disember lalu, susulan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Profesional Khas KPM 2025 yang diadakan pada 8 Disember.
Surat berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Menurut KPM, dasar tersebut menetapkan bahawa tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan ke atas murid berkaitan pemakaian tali leher di sekolah.
Kementerian turut menegaskan keprihatinan terhadap tanggungjawab ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang permulaan sesi baharu.
“Bagi meringankan beban tersebut, KPM mengambil kira keperluan semasa murid sebelum membuat keputusan ini,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang rasmi kementerian.
Antara faktor utama yang dipertimbangkan termasuk keadaan iklim tempatan yang panas dan lembap, yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian serta boleh menjejaskan keselesaan murid.
Selain itu, langkah berkenaan juga selari dengan usaha KPM untuk mengurangkan tekanan kewangan yang ditanggung oleh isi rumah, khususnya dalam penyediaan kelengkapan persekolahan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


