Murid Tahun Tiga cedera dipukul bapa rakan sekelas

Nur Fazlizai Ali
April 25, 2022 09:57 MYT
Mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar. - Gambar/ Sinar Harian/ Ihsan pembaca
KUALA TERENGGANU: Seorang murid tahun tiga sebuah sekolah rendah di daerah ini cedera akibat dicekik, diangkat dan dilepaskan ke tanah oleh bapa rakan sekelasnya, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa dikatakan bermain sebelum berlaku perselisihan faham dengan rakan itu di luar pagar sekolah.
Katanya, mangsa yang berusia sembilan tahun dikatakan telah menampar rakan sekelasnya, sebelum kanak-kanak itu mengadu kepada bapanya.
"Berikutan itu bapa rakannya bertindak mencekik dan mengangkat mangsa lalu menjatuhkannya ke tanah menyebabkan kepala mangsa mengalami luka kecil dipercayai terkena batu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, pihak sekolah kemudian menghubungi bapa mangsa yang kemudian datang mengambil anaknya dan seterusnya membuat laporan polis.
Katanya mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
#murid sekolah #Kuala Terengganu #dipukul bapa rakan #laporan polis