MALAYSIA

Murid terjatuh lubang kumbahan: Polis ambil keterangan sembilan individu

Bernama 29/09/2025 | 02:30 MYT
Polis telah mengambil keterangan sembilan individu setakat ini berhubung tragedi seorang murid terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai dua hari lepas.
SEREMBAN: Polis telah mengambil keterangan sembilan individu setakat ini berhubung tragedi seorang murid terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai dua hari lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mereka yang dirakam keterangan termasuk pengadu kes, guru dan pelajar sekolah terbabit.

"Kita akan rakam empat keterangan lagi hari ini membabitkan pihak Jabatan Kerja Raya, Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

"Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, semakan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

Sabtu lepas, murid tahun tiga Abdul Fatah Khairol Rizal meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan dan semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi itu.

Beliau berkata, laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan segera untuk tindakan lanjut sekali gus bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

-- BERNAMA




#murid jatuh #lubang kumbahan #polis #saluran kumbahan sekolah