Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran kepada pengendali-pengendali bas sekolah yang menaikkan harga tambang boleh dikenakan denda.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Shila Dorai Raj berkata mana-mana ahli persatuan bas sekolah yang didapati mengambil bahagian serta bersetuju dalam penetapan harga secara kolektif mereka boleh dikenakan tindakan.

“Tindakan itu merupakan pelanggaran terhadap Akta Persaingan 2010 dan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10% daripada jumlah keseluruhan perolehan mereka.

“MyCC juga mungkin akan memberikan apa-apa arahan lain yang dianggap sesuai untuk memastikan pematuhan pada masa akan datang,” kata beliau.

Amaran itu diberikan selepas kira-kira 18,000 operator bas yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) bersetuju untuk menetapkan bersama kenaikan tambang bas sekolah sebanyak 30 peratus mulai tahun depan.

Sebelum ini Pengerusi MyCC, Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob, mengingatkan operator bas supaya menentukan struktur tambang bas mereka secara bebas dan tidak menetapkan struktur tambang bas bersama operator bas yang lain.

Beliau berkata perlakuan penetapan harga seperti itu adalah bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Seksyen 4 daripada Akta Persaingan 2010 melarang perusahaan, termasuk persatuan, dari menetapkan, secara langsung atau tidak langsung suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan yang lain bagi pembelian barangan dan perkhidmatan.

Berikutan penyahkawalan tambang bas sekolah oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini, pengendali-pengendali bas sekolah tidak akan terikat kepada satu struktur tambang tetap lagi tetapi bebas menentukan anggaran tambang masing-masing berdasarkan kos operasi mereka sendiri.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kelakuan oleh persatuan dan perusahaan perniagaan yang sedang atau telah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti penetapan harga perlu menghubungi MyCC di +603-2273 2277 atau melalui e-mel di [email protected].