MALAYSIA

MyCC fokus banteras tiga kartel utama, nafi hanya kejar kes teknikal - Armizan

Khalis Khadir 04/11/2025 | 12:15 MYT
Armizan berkata, tiga jenis kartel utama yang menjadi fokus MyCC adalah tipuan bida dalam perolehan kerajaan, kartel industri makanan dan produk pertanian serta kartel dalam perkhidmatan asas pengguna. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hanya memberi tumpuan kepada isu-isu teknikal dan mengejar kes berprofil tinggi tanpa impak langsung kepada rakyat, adalah tidak tepat.


Ringkasan AI
  • MyCC menumpukan penguatkuasaan terhadap tiga jenis kartel utama yang melibatkan tipuan bida dalam perolehan kerajaan, industri makanan dan produk pertanian, serta perkhidmatan asas pengguna.
  • MyCC telah mengeluarkan dua keputusan cadangan terhadap 81 syarikat perkhidmatan pakej umrah dan 22 pengusaha taska yang disyaki terlibat dalam kartel penetapan harga, memberi kesan langsung kepada pengguna.
  • Tindakan tegas diambil termasuk penalti kewangan keseluruhan RM550.13 juta terhadap pelbagai pihak yang terlibat dalam kartel, termasuk penjual bunga di Cameron Highlands, pengilang ais di Kuala Lumpur dan Selangor, serta pengendali gudang.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MyCC menumpukan penguatkuasaan terhadap tiga jenis kartel utama iaitu tipuan bida dalam perolehan kerajaan, kartel industri makanan dan produk pertanian serta kartel dalam perkhidmatan asas pengguna.

Armizan berkata, MyCC juga telah mengeluarkan dua keputusan cadangan terhadap 81 syarikat penyedia perkhidmatan pakej umrah serta kepada 22 pengusaha taska kerana disyaki terlibat dalam kartel penetapan harga yang memberi kesan langsung kepada pengguna.

“Antara tindakan tegas yang diambil termasuk kartel penetapan harga melibatkan penjual bunga di Cameron Highlands, pengilang ais di Kuala Lumpur dan Selangor, pekedai roti dan manisan di Sibu, pengusaha pusat tuisyen, syarikat insurans am, pengendali depot kontena, pengendali gudang, serta lima syarikat pengeluar dedak ayam. Kesemua pihak terlibat telah dikenakan penalti kewangan keseluruhan RM550.13 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan RUU Perbekalan (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Bagi kartel tipuan bida, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pihak melibatkan nilai perolehan RM539.7 juta, dengan jumlah keseluruhan penalti terhadap syarikat-syarikat berkenaan sebanyak RM97.3 juta.

Tindakan juga diambil terhadap penyalahgunaan kedudukan dominan seperti syarikat yang menyeleweng kuasa monopoli dengan penalti dikenakan RM9.6 juta, selain penalti RM10.3 juta terhadap syarikat yang menyalahguna kedudukan itu melalui perjanjian eksklusif untuk mengekang pesaing baharu.


#Armizan Mohd Ali #MyCC #kartel