PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Grab Holdings Inc dan anak syarikatnya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan suruhanjaya itu mengenakan denda RM86.77 juta terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan yang mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat dalam permohonan kebenaran itu.

Susulan keputusan itu, permohonan semakan kehakiman oleh Grab Holdings, MyTeksi Sdn Bhd dan GrabCar Sdn Bhd akan didengar oleh Mahkamah Tinggi atas meritnya.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Nallini berkata isu di hadapan mahkamah ialah sama ada keputusan yang dicadangkan (untuk mengenakan denda) yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36 Akta Persaingan 2010 boleh diterima oleh semakan kehakiman.

"Walaupun itu adalah persoalan undang-undang yang boleh dijawab pada peringkat ini atau selepas semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, memandangkan matriks fakta kes ini, dan tempoh masa yang telah berlalu, kami berpendapat adalah betul bahawa perkara itu diselesaikan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi," kata beliau.


Nallini berkata dengan arahan jelas mahkamah ini bahawa MyCC diberi kebebasan untuk membangkitkan kebolehpercayaan dan isu bidang kuasa di Mahkamah Tinggi.

Beliau memerintahkan MyCC membayar kos sebanyak RM30,000.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, peguam MyCC, Datuk Seri Gopal Sri Ram menggesa mahkamah agar membenarkan permohonan anak guamnya untuk kebenaran merayu kerana keputusan yang dicadangkan oleh MyCC untuk mengenakan denda ke atas Grab dan anak syarikatnya tidak boleh dipinda kepada semakan kehakiman.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan tidak menimbangkan Akta Persaingan telah menetapkan proses dalaman yang mesti diselesaikan berkaitan keputusan yang dicadangkan di bawah Seksyen 36 Akta Persaingan.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Grab Holdings dan anak syarikatnya membantah permohonan kebenaran merayu itu.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi perlu mendengar dan memutuskan permohonan semakan kehakiman syarikat berdasarkan meritnya.

Grab Holdings dan dua anak syarikatnya itu memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan cadangan MyCC bertarikh 23 Sept 2019 untuk mendenda syarikat-syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi, pada Februari 2020, menolak permohonan Grab Holdings kerana mahkamah menganggap langkah itu terlalu awal memandangkan keputusan yang dicadangkan itu belum muktamad.

Mengenai rayuan, Mahkamah Rayuan, pada 19 April tahun lepas, memberikan kebenaran kepada tiga syarikat itu untuk memulakan semakan kehakiman. Ini mendorong MyCC memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk kebenaran merayu.

-- BERNAMA