Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

MyCC jemput maklum balas daripada orang ramai mengenai kajian pasaran ekonomi digital

Bernama 26/08/2025 | 15:15 MYT
MyCC berkata kajian strategik itu menganalisis secara menyeluruh lima bidang utama dikenal pasti sebagai asas kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi digital Malaysia. - Gambar MyCC
KUALA LUMPUR: Semua pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor dijemput untuk menyumbang maklum balas mereka mengenai Draf Laporan Akhir Kajian Pasaran mengenai Ekosistem Ekonomi Digital.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam satu kenyataan berkata kajian strategik itu menganalisis secara menyeluruh lima bidang utama dikenal pasti sebagai asas kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi digital Malaysia.

"Bidang tersebut ialah sistem pengendalian dan pembayaran mudah alih, e-dagang (pasaran runcit), perkhidmatan pengiklanan digital, agensi pelancongan dalam talian (OTA) dan privasi serta perlindungan data," katanya.

MyCC membentangkan penemuan daripada kajian pasaran menyeluruhnya selepas mengadakan sesi konsultasi awam dengan penggiat industri pada 19 Ogos lepas, seterusnya sesi dengan wakil daripada kementerian dan agensi kerajaan pada hari berikutnya.

Kajian itu mengetengahkan isu persaingan utama, cabaran struktur dalam pasaran dan pertimbangan dasar kritikal untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi digital negara.

Semasa sesi tersebut, MyCC turut berkongsi cadangan awal yang akan menjadi asas bagi pembangunan dasar masa hadapan ke arah membina ekosistem digital yang lebih adil, lebih inovatif dan berdaya saing di Malaysia.

"MyCC menyeru semua pihak berkepentingan merentas sektor untuk memberikan maklum balas mereka mengenai cadangan awal yang terkandung dalam draf akhir.

"Input kritikal ini akan memastikan rangka kerja dicadangkan kami mencerminkan perspektif yang pelbagai daripada pengawal selia, peserta industri dan orang awam, akhirnya mengukuhkan landskap ekonomi digital Malaysia," katanya.

MyCC berkata semua penyerahan maklum balas mesti diterima selewat-lewatnya 14 September depan sebelum kajian dimuktamadkan pada Disember, 2025.

-- BERNAMA




#E-dagang #maklum balas #kajian pasaraan #orang awam