MALAYSIA

MyCC perkukuh usaha perangi kartel penipuan bida, mantap tadbir urus pasaran

Astro Awani 30/10/2025 | 05:15 MYT
Armizan berkata, MyCC sentiasa berusaha untuk memastikan proses persaingan dalam tender dan kontrak kerajaan berlaku secara telus, adil dan berintegriti.
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memperkukuh komitmennya dalam membanteras kartel penipuan bida dan meningkatkan tadbir urus pasaran sebagai langkah ke arah mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih telus dan mampan.


Ringkasan AI
  • MyCC memberi tumpuan kepada dua fokus utama iaitu membanteras kartel penipuan bida dan memperkukuh tadbir urus dalam transaksi percantuman, bagi memastikan pasaran berfungsi secara adil, telus dan berdaya saing.
  • Setakat ini, MyCC telah mengeluarkan keputusan pelanggaran terhadap 26 syarikat melibatkan nilai tender RM540.72 juta dengan penalti RM97.3 juta, manakala 14 kes melibatkan 563 syarikat sedang disiasat membabitkan nilai RM2.7 bilion.
  • MyCC Competition Summit 2025 menghimpunkan hampir 500 peserta dan menyaksikan pemeteraian dua MoU dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina dan SME Corp Malaysia bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam isu persaingan dan tadbir urus pasaran.


Dua fokus utama MyCC pada masa ini ialah membanteras kartel penipuan bida serta menambah baik tadbir urus dalam transaksi percantuman melalui rejim kawalan percantuman.

Kedua-duanya menjadi tunjang kepada usaha memastikan pasaran berfungsi secara adil dan berdaya saing.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kartel tipuan bida, MyCC giat memperluas kerjasama strategik bersama agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam proses perolehan awam.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, penganjuran MyCC Competition Summit 2025 kali ini amat signifikan kerana membincangkan isu-isu utama yang berkait langsung dengan integriti pasaran dan kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, persidangan atau summit MyCC pada hari ini mendapat sambutan positif bukan hanya daripada industri tempatan tetapi juga daripada sembilan agensi luar negara yang menjadi rakan strategik MyCC.

“Pemilihan dua fokus utama iaitu isu bid-rigging atau kartel tipuan bida dan abusive mergers amat bertepatan kerana kedua-duanya mampu menjejaskan usaha untuk mewujudkan pasaran yang sihat, mampan dan progresif.

“Ini sekali gus memberi kesan kepada kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya selepas merasmikan MyCC Competition Summit 2025 bertemakan “Strengthening Competition Through the ‘G’ in ESG for a Sustainable Future” di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid pada Khamis.

Jelasnya lagi, langkah ini sejajar dengan usaha berterusan suruhanjaya tersebut untuk memastikan proses persaingan dalam tender dan kontrak kerajaan berlaku secara telus, adil dan berintegriti.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memainkan peranan penting dalam membantu penyelarasan MyCC bagi memeterai surat persefahaman (LoU) dengan 16 kementerian sebagai sebahagian daripada inisiatif membanteras kartel penipuan bida di sektor awam.

Setakat ini, MyCC telah mengeluarkan keputusan pelanggaran terhadap 26 syarikat berkaitan kesalahan kartel penipuan bida melibatkan nilai tender berjumlah RM540.72 juta, dengan penalti kewangan sebanyak RM97.3 juta.

Pada masa sama, sebanyak 14 kes penipuan bida melibatkan 563 syarikat sedang disiasat, membabitkan tender bernilai RM2.7 bilion.

MyCC Competition Summit 2025 menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada pembuat dasar, pengawal selia, ahli akademik serta pakar industri dari dalam dan luar negara untuk membincangkan peranan tadbir urus dalam memperkukuh daya saing dan memastikan integriti pasaran yang mampan.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU), masing-masing antara MyCC dan Suruhanjaya Persaingan Filipina (PCC) serta SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia).

Melalui kedua-dua MoU tersebut, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk pertukaran maklumat, advokasi, latihan, penyelidikan serta perkongsian amalan terbaik bagi memperkukuh kefahaman dan penyelarasan dasar berkaitan isu persaingan di peringkat nasional dan serantau.


#Armizan Mohd Ali #kpdn #MyCC #kartel tipu bida