KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terus menyokong usaha kerajaan meningkatkan keberkesanan proses perolehan dengan membanteras amalan antipersaingan seperti penipuan bidaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata selama ini suruhanjaya itu mendapati selain daripada rasuah dan penyelewengan yang lazimnya dikaitkan dengan ketirisan, penipuan dalam pembidaan merupakan ancaman besar kepada ketirisan awam.

"Bentuk kartel ini berlaku apabila dua atau lebih pesaing berpakat untuk memanipulasi proses perolehan, menafikan peluang pembida tulen dan memutarbelitkan sama sekali proses persaingan.

"Kami bersyukur dengan penekanan yang diberikan kepada Akta Persaingan 2010 dalam pekeliling Perolehan Awam (PK 1.6) baharu, yang kami pasti akan memperkukuh usaha penguatkuasaan kami dalam membanteras aktiviti penipuan bidaan dalam tender kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya pekeliling Integriti yang baru dikeluarkan dalam PK 1.6 oleh Kementerian Kewangan (MOF) menandakan pencapaian penting suruhanjaya itu, menerusi penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, dan usaha advokasi mengenai Akta Persaingan 2010 sejak sedekad lepas.

MyCC berkata di bawah pekeliling itu, syarikat yang berminat untuk menyertai tender kerajaan mesti mematuhi Akta Persaingan 2010, dan agensi kerajaan pula kini dikehendaki memberi perhatian kepada isu kartel penipuan bidaan dalam perolehan kerajaan dan melaporkan kepada MyCC mengenai sebarang tanda. pakatan tipu bidaan.

"Susulan pelaksanaan pekeliling berkenaan, individu atau syarikat yang didapati terlibat dalam penipuan bida dalam pemerolehan awam akan disenaraihitamkan oleh MOF untuk tempoh lima tahun.

"Arahan ini telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pihak berkepentingan, khususnya berkaitan keberkesanannya dalam memerangi aktiviti itu.

"Perlu diingatkan bahawa ini adalah satu langkah ke hadapan oleh kerajaan dalam menghantar mesej tegas bahawa aktiviti kartel penipuan bidaan tidak akan diterima," katanya.

Pekeliling PK 1.6 akan dibincangkan dengan lebih terperinci pada Persidangan Undang-undang Persaingan Malaysia Ke-3 2022 yang akan diadakan pada 23 dan 24 Jun 2022 di Sunway Resort, Selangor.

-- BERNAMA