Orang ramai boleh merujuk kepada aplikasi mudah alih, myCuaca, yang mengandungi maklumat cuaca terkini selain laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Ketua Pengarah METMalaysia Alui Bahari berkata empat petugas bertanggungjawab mengemas kini keadaan semasa cuaca dalam aplikasi dan laman sesawang berkenaan bagi membolehkan rakyat bersedia menghadapi sebarang perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Kesemua petugas berkenaan mempunyai dua syif iaitu pagi dan malam. Mereka bukan sahaja kemas kini aplikasi malah di laman sesawang METMalaysia iaitu http://www.met.gov.my/. Keadaan semasa cuaca dikemas kini dua kali sehari iaitu pada 10 pagi dan 10 malam.

"Namun, jika terdapat maklumat terkini, pihak kami akan kemas kini maklumat dengan kadar segera untuk orang ramai," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Alui berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mahu METMalaysia meningkatkan kekerapan hebahan maklumat mengenai keadaan cuaca kepada rakyat melalui platform kementerian itu termasuk media arus perdana serta media sosial dengan kerjasama METMalaysia.

Menjelaskan mengenai laman sesawang METMalaysia, Alui berkata medium itu mempunyai pelbagai maklumat berkaitan cuaca antaranya taburan hujan, kelajuan angin, indeks ultra ungu dan ramalan cuaca.

Beliau berkata MetMalaysia adalah agensi yang bertanggungjawab menyediakan maklumat terkini kepada orang ramai dan mereka haruslah hanya merujuk kepada infomasi yang disediakan pihaknya bagi mengelak sebarang kekeliruan.

"Baru-baru ini, terdapat tular berhubung suhu terendah dialami negara yang disebarkan menerusi media sosial. Jadi, ingin saya pesan agar jangan mudah percaya.

"Maklumat sahih berkaitan cuaca boleh diperoleh menerusi laman sesawang, aplikasi myCuaca atau talian 1 300 22 1MET (1638)," katanya.

-- BERNAMA