MALAYSIA

MyDigital ID sasar 15 juta pendaftaran baharu tahun ini

Bernama 17/01/2026 | 12:00 MYT
MyDigital ID menyasarkan 15 juta pendaftaran baharu sepanjang tahun ini sebagai usaha memperkukuh penggunaan identiti digital nasional secara meluas di seluruh negara. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: MyDigital ID menyasarkan 15 juta pendaftaran baharu sepanjang tahun ini sebagai usaha memperkukuh penggunaan identiti digital nasional secara meluas di seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Rita Irina Abd Wahab berkata MyDigital ID menyasarkan 15 juta pendaftaran baharu tahun ini, dengan 8.7 juta pengguna telah berdaftar setakat ini.
  • Penggunaan MyDigital ID kini melebihi 400,000 akses seminggu, didorong integrasi dengan lebih 80 aplikasi dan portal kerajaan serta swasta.
  • MyDigital ID memperluas promosi melalui kerjasama pemandu e-hailing bagi meningkatkan kesedaran dan penggunaan identiti digital nasional secara inklusif.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Rita Irina Abd Wahab berkata setakat ini, jumlah pendaftaran identiti digital berkenaan telah mencecah kira-kira 8.7 juta pengguna sekali gus melepasi separuh daripada sasaran tahunan yang ditetapkan.

"Sasaran (pendaftaran baharu) itu selari dengan strategi menjadikan MyDigital ID sebagai keperluan harian rakyat bukan sekadar platform teknologi, selain menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan awam dan swasta.

"Lonjakan ini didorong oleh pendekatan menyeluruh termasuk integrasi dengan lebih 80 aplikasi dan portal rentas sektor kerajaan serta swasta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika ini, penggunaan MyDigital ID mencatat lebih 400,000 akses setiap minggu mencerminkan peningkatan keyakinan rakyat terhadap sistem identiti digital nasional.

Sementara itu, Rita Irina berkata pihaknya telah memperluas usaha promosi dengan mendekati rakyat melalui kerjasama strategik bersama pemandu perkhidmatan e-hailing bagi meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan identiti digital nasional.

Beliau berkata pendekatan itu dilihat sebagai langkah lebih inklusif dan praktikal dalam memperkenalkan identiti digital tersebut sebagai gerbang utama kepada perkhidmatan kerajaan dan swasta, khususnya dalam persekitaran bandar yang bergantung kepada mobiliti harian.

"Menerusi dokongan perkhidmatan e-hailing, MyDigital ID dibawa terus kepada masyarakat dan tidak lagi terbatas kepada program berbentuk formal. Pendekatan ini lebih santai, mudah difahami dan membina kepercayaan rakyat," katanya.

MyDigital ID merupakan platform identiti digital selamat dan dipercayai yang berfungsi sebagai log masuk tunggal untuk perkhidmatan digital tanpa menggantikan MyKad, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kebolehcapaian dalam urusan serta transaksi dalam talian.

-- BERNAMA

#MyDigital ID #pendaftaran baharu #Identiti Digital Nasional #Rita Irina Abd Wahab