NATIONAL

MyGenom: Kerajaan bercadang buka perjawatan baharu untuk penyelidikan fasa kedua - Menteri MOSTI

Seth Akmal 18/04/2025 | 07:15 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang (kiri) semasa lawatan di Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
KAJANG: Kerajaan bercadang untuk membuka perjawatan baharu untuk menjayakan fasa kedua projek MyGenom.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata lebih ramai tenaga kerja diperlukan untuk menggerakkan usaha untuk memahami variasi genetik rakyat Malaysia.
“Untuk fasa kedua, kemungkinan kita akan mengadakan perjawatan baru. Kita memang perlukan ramai lagi tenaga kerja sebab selain daripada team pakar klinik, ahli genetik, ahli bioteknologi dan lain-lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengalu-alukan penglibatan daripada sektor swasta untuk menjayakan projek itu kerana fasa pertama digerakkan oleh empat agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Dua institut terlibat di bawah MOSTI iaitu Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan MGVI, manakala di bawah KKM pula melibatkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH),
“Kita juga mengalu-alukan sekiranya ada pemain industri dari sektor swasta yang berminat boleh menghubungi MOSTI kerana untuk fasa kedua memerlukan lebih ramai pekerja,” tambahnya.
Lih Kang bercakap kepada media selepas memberikan sampel darah untuk dijujuk, malah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad turut menyertainya semasa lawatan di Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di sini, hari ini.
Menurut Menteri MOSTI itu lagi, sebanyak 500 genom berjaya dijujuk daripada 2,000 peserta yang mendaftar secara sukarela untuk fasa pertama sejak pelancarannya pada Ogos tahun lalu.
Untuk fasa kedua, seramai 10,000 genom rakyat Malaysia disasarkan dengan anggaran perbelanjaan RM91 juta yang telah dimohon kepada Kementeri Kewangan.
Projek MyGenom bertujuan untuk menjujuk genom individu rakyat Malaysia yang berperanan untuk membantu perlaksanaan perubatan berasaskan profil genetik individu.
#Chang Lih Kang #Dzulkefly Ahmad #MOSTI #genetik #MyGenom #terkini