MALAYSIA

MyGOV Malaysia, transformasi digital urusan perkhidmatan awam

Bernama 29/06/2025 | 02:20 MYT
Aplikasi MyGOV Malaysia fokus kepada tujuh perkhidmatan utama, iaitu perjalanan (urusan pasport); pendaftaran (kelahiran dan kewarganegaraan); pemanduan (cukai jalan dan lesen memandu) dan kesihatan (janji temu perubatan dan rekod kesihatan).
PUTRAJAYA: MyGOV Malaysia, gerbang digital tunggal negara untuk perkhidmatan awam yang bakal dilancarkan bulan depan dijangka merevolusikan cara rakyat berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan sekali gus menjadikan urusan lebih mudah, pantas, dan efisien.

Ringkasan AI
  • MyGOV Malaysia permudah akses perkhidmatan kerajaan Aplikasi mudah alih ini akan dilancarkan bulan depan sebagai gerbang digital tunggal untuk rakyat mengakses pelbagai urusan kerajaan seperti semakan saman, kesihatan, lesen memandu dan bantuan tunai.
  • Tingkatkan kecekapan dan kurangkan birokrasi MyGOV membolehkan urusan dilakukan secara dalam talian 24 jam tanpa perlu ke kaunter fizikal, menjimatkan masa dan menyokong transformasi digital kerajaan.
  • Isu keselamatan dan kesedaran pengguna jadi keutamaan Pakar menegaskan keperluan komunikasi jelas tentang privasi data, keselamatan siber, dan latihan kepada pengguna supaya aplikasi ini digunakan secara selamat dan berkesan.

MyGOV Malaysia adalah aplikasi mudah alih bersepadu bagi perkhidmatan kerajaan yang menawarkan kemudahan capaian perkhidmatan secara mudah alih (mobile) bagi memenuhi keperluan rakyat, penjawat awam dan perniagaan.
Melalui aplikasi itu, rakyat dapat melakukan semakan, permohonan serta menerima notifikasi perkhidmatan agensi kerajaan, antaranya semakan saman, aspek kebajikan serta khidmat untuk pesara.
Pensyarah Kanan Sains Komputer Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban Prof Madya Dr Siti Salwa Salleh berkata pengenalan aplikasi itu langkah tepat yang menyokong transformasi digital kerajaan ke arah perkhidmatan lebih efisien.
"Ia satu peningkatan akses rakyat kerana mereka boleh capai maklumat dan perkhidmatan tanpa had masa dan lokasi.
"Pengenalan aplikasi itu akan memudahkan urusan antara rakyat dan kerajaan tanpa perlu ke kaunter fizikal sekali gus mengurangkan birokrasi," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata aspek komunikasi serta pemahaman tentang aplikasi kepada pengguna perlu ditingkatkan supaya pengenalan aplikasi dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Mengenai persepsi kebimbangan pengguna terhadap keselamatan dan privasi data dalam aplikasi itu, beliau berkata kerajaan perlu menyediakan maklumat jelas kepada orang awam tentang bagaimana data mereka dikumpul, disimpan dan dilindungi.
"Paparkan polisi privasi secara terbuka dan mudah difahami di portal rasmi. Kejayaan pelaksanaan MyGov memerlukan pendekatan komunikasi berterusan, latihan, sokongan teknikal, dan perubahan pembudayaan teknologi yang inklusif," katanya.
Pensyarah Kejuruteraan Mekatronik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Yasir Mohd Mustafah berkata pengenalan aplikasi MyGov Malaysia akan memudahkan urusan dan menjimatkan masa semua pengguna dalam berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan.
"Dengan perkhidmatan yang boleh diakses dengan mudah 24 jam secara dalam talian, pengenalan aplikasi ini akan membantu dalam mentransformasikan sektor perkhidmatan di Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding kaedah manual," katanya.
Sementara itu, Yasir menyeru kerajaan untuk terus memperkukuh aspek keselamatan siber serta segera meminda Akta Perlindungan Data Peribadi untuk merangkumi entiti kerajaan sendiri.
"Dalam aspek keselamatan data pula, walaupun aplikasi ini dikatakan tidak menyimpan data peribadi pengguna secara langsung, bahaya masih wujud, contohnya melalui kebocoran sistem backend atau serangan siber terhadap individu," katanya.
Sebelum ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata gerbang digital tunggal negara bagi perkhidmatan awam atau MyGOV Malaysia akan dilancarkan bulan depan.
Gobind berkata aplikasi mudah alih itu sebahagian daripada inisiatif Teknologi Kerajaan (GovTech) negara yang bertujuan memudahkan rakyat negara ini mengakses pelbagai agensi kerajaan dengan mudah.
Aplikasi mudah alih itu memfokuskan kepada tujuh perkhidmatan utama, iaitu perjalanan (urusan pasport); pendaftaran (kelahiran dan kewarganegaraan); pemanduan (cukai jalan dan lesen memandu) serta kesihatan (janji temu perubatan dan rekod kesihatan).
Aplikasi itu turut melibatkan perkhidmatan saman (semakan dan bayaran); perumahan (cukai tanah dan cukai taksiran) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
-- BERNAMA
#MyGOV Malaysia #transformasi digital #perkhidmatan awam #agensi kerajaan