MALAYSIA
MYMT 2026 perkukuh kedudukan Malaysia dalam pelancongan perubatan global

Malaysia tersenarai dalam kelompok 10 destinasi pelancongan perubatan terbaik dunia oleh Nomad Capitalist pada Mei lepas, bersama negara serantau seperti Singapura dan Thailand. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 dilancarkan secara rasmi semalam bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mampu milik.
Ringkasan AI
- Malaysia lancar MYMT 2026 tarik pelancong kesihatan - Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 dilancarkan untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama rawatan berkualiti dan mampu milik, dengan slogan "Healing Meets Hospitality".
- Sektor pelancongan perubatan beri impak ekonomi besar - MYMT 2026 dijangka menyumbang RM12 hingga RM15 bilion menjelang 2030 melalui impak kepada pelbagai sektor seperti penerbangan, hotel dan komuniti tempatan.
- Hospital cemerlang dan tokoh terkenal jadi tumpuan - Empat hospital terpilih dinilai untuk pengiktirafan kecemerlangan, manakala Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai duta rasmi kempen bagi mewakili nilai belas ihsan dan keaslian penjagaan kesihatan Malaysia.
"Angka ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap sistem penjagaan kesihatan negara," katanya dalam ucapan pelancaran kempen berkenaan di sini semalam.
Dzulkefly yang juga Pengerusi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) berkata kedudukan Malaysia dalam sektor itu turut diperkukuhkan apabila negara tersenarai dalam kelompok 10 destinasi pelancongan perubatan terbaik dunia oleh Nomad Capitalist pada Mei lepas, bersama negara serantau seperti Singapura dan Thailand.
Beliau berkata kempen ini turut menyokong matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menjadikan penjagaan kesihatan sebagai pemacu utama ekonomi dan reputasi negara, yang berpotensi menjana antara RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2030 menerusi limpahan manfaat kepada syarikat penerbangan, hotel, perkhidmatan pengangkutan dan komuniti tempatan.
Antara tumpuan utama MYMT 2026 ialah program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana (FMTH) yang memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan dalam penjagaan klinikal, inovasi dan perkhidmatan pesakit antarabangsa.
"Empat hospital cemerlang yang kini berada di fasa akhir penilaian termasuk Institut Jantung Negara, Island Hospital Pulau Pinang, Mahkota Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre. Kita akan umumkan pemenangnya pada Disember ini," katanya.
Kempen itu turut memperkenalkan penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin sebagai duta rasmi, mencerminkan nilai kepercayaan, keaslian dan belas ihsan, selari dengan teras utama Penjagaan Kesihatan di Malaysia.
Dzulkefly berkata Malaysia bersedia memainkan peranan utama dalam kerjasama serantau bidang kesihatan sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN 2026, khususnya dalam aspek penjagaan rentas sempadan, mobiliti penjagaan kesihatan dan kesaksamaan kesihatan.
"Dengan komitmen dan kerjasama yang berterusan, saya yakin kita akan melangkaui jangkaan dan menetapkan penanda aras baharu dalam pelancongan perubatan global," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami