KUALA LUMPUR: Sistem pengesanan kontak rapat MySejahtera masih relevan dan bernilai dalam usaha mengawal jangkitan COVID-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sewaktu negara melalui kemuncak Omicron pada bulan lepas, MySejahtera telah menghantar pesanan kontak rapat, dan hasilnya 45 peratus daripada penerima disahkan positif COVID-19.

Susulan sistem penghantaran itu, Khairy berkata, kesemua mereka yang positif berjaya diasingkan dengan lebih cepat sebelum merebak kepada individu yang lain.

“Memang di kemuncak gelombang Omicron, kita telah menghantar notifikasi kepada mereka melalui data check-in, dan kita dapati 45 peratus positif, dan berjaya diasingkan melalui sistem pengesanan kontak MySejahtera.

“Kita dapati MySejahtera masih lagi ada nilainya sebagai satu alat untuk pengesanan kontak. Oleh kerana kita dah lepasi puncak Omicron, dan sekarang dalam fasa peralihan, KKM sedang pantau pattern jangkitan, dan kita akan buat keputusan dalam seminggu dua, nak teruskan atau tidak pengesanan status,” katanya lagi.

Mengenai pandangan bahawa MySejahtera tidak tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), Khairy berkata, pengurusan data aplikasi berkenaan masih mematuhi keperluan akta tersebut.

Buat masa kini, beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, jika perlu membuat pematuhan secara menyeluruh.

Menyentuh mengenai isu tentang kit ujian saringan, Khairy berkata, prestasinya sentiasa dipantau bagi memastikan tiada kompromi terhadap hasil ujian.

“Bila kit ini dijual, kita kena sentiasa pantau prestasinya. Kit ini mungkin terdedah kepada perubahan suhu, atau semasa dalam pengangkutan ada kesan, sebab itu saya arahkan MDA (Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia), untuk melakukan market surveillance untuk kita pantau prestasi kit di pasaran.

“Berdasarkan aduan yang diterima 22 jenama telah dihantar untuk ujian, dan daripada 12 keputusan telah diterima, dua daripadanya telah gagal ujian. Secara spesifiknya, kita perlukan setiap kit RTK-Antigen untuk lepasi kadar 90 peratus bagi untuk kedua-dua faktor – specificity atau ketepatan, dan juga sensitivity,” katanya lagi.