KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera kini mempunyai satu ciri tambahan bagi membolehkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ciri terbaharu yang dikenali sebagai MySejahtera Trace (MySJ Trace) boleh dimuat turun bermula hari ini.

Dalam catatan terbaharu di akaun Twitter miliknya, Khairy berkata 'MySJ Trace' menggunakan teknologi bluetooth untuk mengesan kontak rapat yang juga mengguna ciri yang sama.

"Ciri tersebut akan memberi maklumat secara ‘live’ bilangan interaksi dengan pengguna lain yang juga aktifkan MySJ Trace," katanya.


Tambahnya ciri ini telah dihantar serentak ke Google, Apple & Huawei.

"Sudah boleh dikemaskini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update baharu ini," katanya.

Dalam pada itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata fungsi baharu itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate and Support (FTTIS).

“Bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19, pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa.

“Apabila seorang individu itu disahkan positif COVID-19, notifikasi akan diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan,” katanya.