MYTV gantung siaran Awesome TV berkuat kuasa 2 Nov

Hilmi Malik
Oktober 19, 2023 10:00 MYT
MYTV menurut kenyataannya pada Khamis menyatakan, perkara itu dibuat berikutan wujud isu-isu komersial melibatkan MYTV dan Awesome TV meskipun pelbagai langkah penyelesaian telah cuba diambil. - Foto MYTV
KUALA LUMPUR : MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) mengumumkan penggantungan siaran saluran TV Awesome Broadcasting Sdn Bhd (Awesome TV) di platformnya berkuat kuasa 2 November ini.
MYTV menerusi kenyataannya pada Khamis menyatakan, keputusan itu diambil berikutan wujudnya isu-isu komersial melibatkan MYTV dan Awesome TV meskipun pelbagai langkah penyelesaian telah cuba diambil.
“Penggantungan saluran Awesome TV ini adalah amat dikesali dan MYTV memohon maaf kepada para penonton di atas sebarang kesulitan disebabkan perkara tersebut.
“MYTV menghargai segala sokongan dan kerjasama daripada para penonton dan akan terus meningkatkan usaha dalam mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak,” memetik kenyataan itu hari ini.
Untuk rekod, Awesome TV mula bersiaran secara rasmi pada 1 Ogos 2020 dan menawarkan beberapa kandungan tempatan dan antarabangsa.
#MYTV #Awesome TV #gantung siaran #sokongan penonton