Myvi dipandu lelaki Switzerland rempuh stesen minyak di Ipoh

Abd Razak Mohd Ali
Januari 9, 2024 11:50 MYT
Rempuhan itu turut menyebabkan sebuah motosikal mengalami kerosakan. - Gambar/ Ihsan pembaca
IPOH: Sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki warga emas Switzerland merempuh sebuah stesen minyak di Taman Canning, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 77 tahun itu dikatakan mengalami kekejangan kaki kanan ketika berhenti untuk mengisi minyak di Stesen Minyak Caltex stesen berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu yang berada di pam nombor dua sedang membetulkan kenderaannya untuk mengisi minyak.
“Tiba-tiba dia diserang kekejangan kaki kanan dan tidak dapat mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kereta terbabas ke hadapan melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR lalu merempuh dinding kaca di situ,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, ekoran rempuhan itu, seorang wanita tempatan mengalami kecederaan di kaki kanannya.
Bagaimanapun, katanya, pemandu Myvi itu dan penunggang motosikal berumur 29 tahun serta pemilik stesen minyak yang berusia 42 tahun tidak mengalami kecederaan.
Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
#kereta rempuh stesen minyak #Ipoh #Taman Canning #warga Switzerland