KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van parah selepas kenderaannya dirempuh oleh sebuah kereta Perodua Myvi petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 2 petang di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, dekat Serdang, kenderaan mangsa dirempuh dari belakang menyebabkan van dipandunya terbalik.

Turut dirempuh sebuah kereta Proton Waja yang berada di kanan van tersebut.

Seorang penunggang motosikal pula nyaris menjadi mangsa apabila berada beberapa meter di belakang van tersebut.

Kes rempuh van | Polis tahan pemandu Myvi rempuh van


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata pemandu Myvi berusia 26 tahun itu dikatakan cuba melarikan diri tetapi ditahan orang awam yang kemudian menyerahkan kepada polis, lapor Berita Harian.

"Lelaki pemandu Myvi itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSJT) untuk tindakan susulan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu Myvi itu negatif dadah.

"Polis akan menjalankan ujian alkohol terhadap lelaki itu yang didapati tiada rekod jenayah.

"Kita akan mohon reman terhadap suspek mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata Azman.

Pemandu van yang parah kini ditempatkan di zon merah Hospital Serdang untuk rawatan.

"Setakat ini, butiran pemandu van itu masih belum diperoleh daripada hospital dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Rakaman kejadian tular di media sosial sejak semalam.