SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Air 1920 bagi mengatasi isu pencemaran sungai termasuk mengenakan kompaun maksimum RM250,000 kepada individu yang merosakkan sumber air, dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata peruntukan undang-undang tersebut dikeluarkan Badan Kawal Selia Air (BKSA) bagi memastikan masyarakat mematuhi sepenuhnya prosedur kawalan air dan penguatkuasaan peraturan berkenaan.

"Negeri lain dah bermula antaranya Johor dan Melaka, tetapi kita di Negeri Sembilan, kita mulakan tahun ini, walaupun lewat atas sebab tertentu.. beberapa tahun lepas ada berlaku kes pencemaran sumber air di negeri ini tetapi tidak dapat diambil tindakan sepenuhnya.

"Jadi dengan adanya undang-undang ini akan membolehkan kita menjalankan kompaun atau denda kepada mereka yang menyalahgunakan serta merosakkan sistem air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini semalam.

Beliau berkata bagi pesalah yang melakukan pencemaran air, notis amaran sebanyak dua kali akan diberikan kepada mereka yang terbabit sebelum BKSA mengeluarkan kompaun.

Aminuddin berkata pada tahun lepas, sebanyak lapan kes melibatkan pencemaran air berlaku di negeri ini termasuk melepaskan air cucian daripada ladang ayam dan perlombongan pasir berhampiran tebing sungai.

Justeru katanya perkara itu perlu diatasi segera memandangkan ia membabitkan kepentingan masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang berkenaan mampu mengawal kegiatan pencemaran sumber air pada masa akan datang.

"Kita juga sedang menyiapkan makmal dan ada pegawai daripada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd untuk membantu mengenal pasti kesalahan dilakukan oleh mana-mana pihak," katanya.

-- BERNAMA