MALAYSIA
NACSA muktamadkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030 - Kementerian Digital

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sedang memuktamadkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS) 2025-2030.
KUALA LUMPUR: Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sedang memuktamadkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS) 2025-2030 sebagai kesinambungan kepada MCSS 2020-2024, kata Kementerian Digital.
Menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Dewan Rakyat, kementerian memaklumkan strategi ini melibatkan tiga pihak berkepentingan utama iaitu kerajaan, sektor perniagaan dan komuniti.
"Ia turut mengambil kira aspek teknologi memuncul seperti kecerdasan buatan (AI) serta semua bentuk ancaman keselamatan siber yang berkaitan, bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap ekosistem digital negara," katanya.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) mengenai ketelusan latihan data model AI DeepSeek dan penggunaan cip Huawei dari segi keselamatan dan kedaulatan digital negara.Kementerian Digital juga mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan AI bagi meneliti aspek teknikal serta memastikan pematuhan kepada standard keselamatan dan etika, termasuk penilaian terhadap teknologi luar.
"Jawatankuasa ini akan dianggotai pakar pelbagai bidang dari sektor awam dan swasta bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan pembangunan dan penggunaan AI di Malaysia kekal selamat, bertanggungjawab dan selaras dengan prinsip nasional," kata kementerian itu.
Sementara itu, menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai perkembangan liputan 5G, Kementerian Digital memaklumkan Digital Nasional Berhad (DNB) telah membangunkan rangkaian 5G dengan pencapaian 82.4 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) dengan jumlah tapak 5G sebanyak 7,489 setakat 30 Jun 2025.
Selain itu, kadar penembusan 5G negara mencapai 80.4 peratus dengan kira-kira 27.4 juta pelanggan aktif sehingga Mei 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantaudalam kesalinghubungan digital dan transformasi teknologi komunikasi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami